SEREMBAN – Kewujudan portal-portal berita di internet amat penting untuk memainkan peranan memberitahu orang ramai tentang program pemberian bantuan kepada orang ramai yang memerlukan yang digerakkan oleh kumpulan kecil yang bukan dari parti politik atau kumpulan yang besar.
Seorang pejuang suara rakyat Datuk Thayalan Murugayah berkata biasanya kumpulan kecil yang ingin membuat program atau pemberian bantuan sukar mendapat perhatian media arus perdana tetapi ia berbeza bagi portal-portal berita yang ada di negara ini.
“Peranan media memang penting untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai di seluruh negara supaya orang ramai tahu kewujudan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) kecil yang ingin menolong rakyat,” katanya kepada Suara TV.
Baru-baru ini, beliau bersama dengan Pengerusi Bersekutu Gabungan Suara Rakyat (GASURA) Datuk Seri Raj Manickam turun padang ke Seremban, Negeri Sembilan membuat kunjungan kepada orang yang memerlukan serta memberikan sedikit sumbangan.
Datuk Thayalan turut memberikan bantuan juga kepada seorang anak muda yang mengalami lumpuh secara tiba-tiba dan tidak boleh bergerak menjalani kehidupan harian seperti biasa.
“Saya dengar luahan keluarga mereka,saya faham apa yang mereka perlukan dan saya akan bantu mereka untuk meringankan beban mereka,” katanya.
Katanya, kehadiran mereka di Negeri Sembilan bukan atas kapasiti mana-mana pihak lain tetapi atas naluri mereka sendiri sebagai rakyat Malaysia yang mahu menghulurkan tangan memberi bantuan kepada orang yang kurang bernasib baik.
Beliau turut meminta doa dan kata-kata semangat dari orang ramai supaya apa yang digerakkan mereka ini dipermudahkan dan semua bantuan boleh disalurkan dengan lancar.
Menurut Datuk Thayalan prorgam lawatan dan pemberian sumbangan serta bantuan ini akan diperluaskan ke negeri-negeri lain di seluruh Semenanjung Malaysia tetapi kumpulan beliau mula menggerakkannya di Negeri Sembilan.
Dalam lawatan di Seremban, beliau bersama Datuk Seri Raj turut memberikan bantuan kenderaan yang akan digunakan sebagai shuttle untuk orang kurang upaya (OKU) untuk membantu mereka membeli barang keperluan, urusan harian dan pergi ke hospital.
“Usaha ini kita akan gerakkan di tempat-tempat lain juga tapi kita membuat permulaan di sini (Seremban),” katanya.
Baru-baru ini Datuk Seri Raj dan Datuk Thayalan menerima ucapan penghargaan daripada Tengku Sharifuddin Shah Tengku Sulaiman Shah di Istana Riahman, Shah Alam untuk jasa baik serta sumbangan mereka dalam kerja-kerja amal membantu orang ramai.
Datuk Seri Raj berkata, untuk bekerja membantu rakyat tidak semestinya seseorang itu mesti menjadi ahli atau anggota sesuatu persatuan tetapi perlu memiliki naluri yang kuat bekerja membantu rakyat.


