SEREMBAN – Titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk menarik balik dua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Tan Sri Mohd Rais Yatim didakwa tidak sah dan bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sumber yang rapat dengan Undang Yang Empat memberitahu SuaraTV kesemua mereka tidak dirunding sebelum keputusan berkenaan dibuat dan diumumkan.
Ketiadaan rundingan tersebut adalah bercanggah dengan Perkara XXVI dan XXVII Undang-Undang Tubuh Negeri yang mensyaratkan Yang di-Pertuan Besar perlu terlebih dahulu berunding dengan Undang Yang Empat sebelum menjalankan kuasa berkaitan pengurniaan serta pelucutan darjah kebesaran.
Perkara XXVI menetapkan bahawa sebelum Yang di-Pertuan Besar menjalankan kuasa prerogatif berkaitan gelaran dan darjah kebesaran, baginda hendaklah terlebih dahulu berunding dengan Undang Yang Empat.
Sementara itu, Perkara XXVII menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Besar, selepas berunding dengan Undang Yang Empat (Ruling Chief), boleh melucutkan seseorang daripada sebarang pangkat, gelaran, darjah atau pingat kebesaran yang dikurniakan menurut Perkara XXVI sekiranya individu berkenaan melakukan kesalahan berat.
Ini bermakna rundingan bersama Undang Yang Empat bukan sekadar amalan istiadat atau pilihan, sebaliknya merupakan syarat yang dinyatakan secara jelas dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.
Sekiranya benar keputusan tersebut dibuat tanpa rundingan dengan Undang Yang Empat, tindakan berkenaan didakwa tidak mematuhi tatacara perlembagaan dan boleh dipertikaikan kesahannya.
Terdahulu, Tuanku Muhriz menitahkan penarikan balik dua darjah kebesaran Negeri Sembilan yang dikurniakan kepada Rais, berkuat kuasa serta-merta.
Penarikan balik itu membabitkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S.) yang dikurniakan pada 2001 dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S.) yang dikurniakan pada 1979.
“Keputusan ini dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan,” menurut kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu dikeluarkan Pejabat Pendaftar Darjah Negeri Sembilan dan ditandatangani Pendaftar Darjah Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, bertarikh 30 Julai 2026.
Rais merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1978 hingga 1982, bekas menteri Kabinet serta bekas Yang Dipertua Dewan Negara.
Beliau turut dikenali sebagai tokoh yang banyak menulis dan memberikan pandangan mengenai Adat Perpatih serta struktur perlembagaan Negeri Sembilan.
Kontroversi itu berlaku selepas Rais secara terbuka memberikan pandangannya berhubung kemelut institusi diraja negeri serta kedudukan dan kuasa Undang Yang Empat menurut adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri.



