LABUAN – Wilayah Persekutuan Labuan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim yang lebih berdaya saing menerusi kekuatan produk pelancongannya seperti makanan laut segar, pilihan sajian halal, tapak warisan serta pelbagai aktiviti rekreasi mesra keluarga.
Perkara itu diketengahkan oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) menerusi penganjuran program “Bah, Singgah Dulu: Muslim-Friendly Tourism and Hospitality (MFTH) Labuan” yang berlangsung di Dorsett Grand Hotel, Labuan, hari ini.
Program anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Labuan serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan itu menghimpunkan 85 peserta terdiri daripada pemain industri pelancongan, pemandu pelancong, wakil masjid dan rakan strategik.
Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH), selain memperkukuh kerjasama industri sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Antara fokus utama sesi tersebut ialah pengenalan program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) serta Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG). Peserta diberi pendedahan mengenai garis panduan, proses permohonan, keperluan pematuhan serta peranan kedua-dua program dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelancong Muslim.
Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata, pasaran pelancongan Muslim global dijangka menyumbang sebanyak USD424 bilion menjelang 2029, didorong oleh populasi Muslim dunia yang dianggarkan mencecah 2.2 bilion orang.
Beliau turut memaklumkan Malaysia sekali lagi dinobatkan sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik Dunia menerusi Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026, sekali gus mengekalkan pengiktirafan itu selama 11 tahun berturut-turut.
Menurut beliau, Labuan memiliki produk pelancongan yang kukuh dan hanya memerlukan pengukuhan dari segi standard serta perkhidmatan mesra Muslim yang diiktiraf.
“Apabila pelancong Muslim yakin keperluan berasaskan agama seperti makanan halal dan kemudahan solat disediakan dengan baik, mereka akan lebih yakin untuk memilih sesuatu destinasi,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan program MFAR dan MFTG bukan sahaja membantu meningkatkan standard perkhidmatan industri, malah memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong Muslim.
Program itu turut mengetengahkan potensi pelancongan masjid sebagai antara produk pelancongan Labuan yang mampu memperkenalkan warisan Islam serta mewujudkan pengalaman budaya yang bermakna kepada pelawat daripada pelbagai latar belakang.
Ketika ini, Labuan mempunyai seorang pemandu pelancong yang diiktiraf di bawah program MFTG. ITC optimis lebih banyak premis pelancongan dan pemandu pelancong di wilayah itu akan menyertai program MFAR dan MFTG bagi memperkukuh ekosistem pelancongan mesra Muslim di Labuan.
Program berkenaan turut menjadi platform mempromosikan dua inisiatif utama ITC iaitu Persidangan Pelancongan Islam Sedunia (WITC) Ke-5 2026 dan Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2026, selain menggalakkan penglibatan industri dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.
ITC menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim negara menerusi pembangunan kapasiti, pengiktirafan industri serta perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju destinasi pelancongan mesra Muslim dunia.


