PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan bersetuju melepaskan hak ke atas tapak Rajang Area Security Command (RASCOM) di Sibu kepada Kerajaan Negeri Sarawak, melibatkan kawasan seluas 3,655.6 hektar.
Keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak selaras semangat federalisme dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut kenyataan, pelepasan hak tersebut melibatkan empat kawasan di Sibu iaitu Nanga Tada, Nanga Jagau, Nanga Ngungun dan Nanga Sekuau.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh hubungan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak selaras dengan semangat federalisme serta pengiktirafan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Kerajaan memaklumkan, sejak tahun 2023, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan penyerahan semula sebanyak 64 lot tanah milik Persekutuan di Sarawak.
Menurut kenyataan itu, pelepasan hak berkenaan akan memberi ruang kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk merancang dan melaksanakan pembangunan yang lebih strategik di kawasan terbabit.
Langkah itu juga dijangka dapat mengoptimumkan penggunaan tanah bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.
Kerajaan MADANI turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pengurusan aset dan tanah milik Persekutuan dilaksanakan secara cekap, telus serta berteraskan semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Menurut kenyataan itu, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap keputusan berkaitan aset kerajaan memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada kemakmuran negara.
Untuk rekod, Rajang Area Security Command (RASCOM) ditubuhkan pada 26 Mac 1972 sebagai sebuah kawasan keselamatan khas bagi menyelaras operasi tentera, polis dan pentadbiran awam dalam membanteras ancaman komunis di kawasan tengah Sarawak, khususnya di sekitar lembangan Sungai Rajang. Bagi menyokong operasi tersebut, Kerajaan Persekutuan telah memperoleh beberapa kawasan tanah untuk dijadikan kem, pangkalan operasi dan kemudahan keselamatan.
Selepas ancaman komunis berakhir dan fungsi RASCOM ditamatkan, sebahagian besar tanah berkenaan tidak lagi digunakan bagi tujuan asal. Justeru, penyerahan semula tapak RASCOM kepada Kerajaan Negeri Sarawak dilihat bukan sahaja membuka ruang kepada pembangunan baharu, malah menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Persekutuan mengembalikan tanah yang tidak lagi diperlukan kepada negeri selaras dengan semangat MA63.


