MARAN – Polis menafikan dakwaan bahawa rumah penduduk Orang Asli di Kampung Chot, Chenor dibakar oleh pihak pemaju, susulan isu pertikaian tanah yang sebelum ini mendapat perhatian apabila sekumpulan aktivis dan penduduk Orang Asli berjalan kaki ke Putrajaya bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan daripada penduduk Kampung Chot berhubung dakwaan bahawa beberapa rumah mereka dibakar oleh pihak pemaju seperti yang tular di media sosial.
Menurutnya, siasatan yang sedang dijalankan ketika ini adalah berhubung satu kes ugutan jenayah terhadap pekerja syarikat pemaju dan bukannya berkaitan pembakaran rumah penduduk.
Beliau berkata, polis menerima laporan pada 14 Julai lalu daripada seorang lelaki berusia 58 tahun yang mendakwa beliau bersama beberapa rakan sekerja daripada sebuah syarikat pemaju dihalang daripada menjalankan kerja-kerja pembersihan di Lot 42531, Mukim Luit, Maran.
“Pengadu turut mendakwa sekumpulan individu mengugut untuk membakar jentera, menghalang pekerja serta membaling batu ke arah sebuah kenderaan pacuan empat roda milik syarikat sehingga menyebabkan kerosakan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Maran menjalankan operasi pada 16 Julai lalu dan menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 61 tahun di sekitar Kampung Chot dan Kampung Paya Besar, Chenor bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, manakala ketiga-tiga suspek telah direman sehari pada 17 Julai selepas permohonan reman diluluskan Mahkamah Majistret Maran.
Menurut Wong, rakaman video serta keterangan saksi telah diperoleh dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan selanjutnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berkepentingan. Polis memandang serius sebarang bentuk ugutan, keganasan atau perbuatan yang boleh mengancam keselamatan awam dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Maran atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



