DOF jamin bekalan udang di pasaran negara kekal mencukupi, stabil

Oleh Zihan Zari

KAPAR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memberi jaminan bahawa bekalan udang di pasaran negara kekal mencukupi dan stabil, disokong oleh prestasi pengeluaran industri akuakultur tempatan yang terus berdaya tahan, tegas Ketua Pengarahnya, Dato’ Adnan Hussain.

Adnan berkata, subsektor udang marin negara yang merangkumi Udang Harimau (Penaeus monodon) dan Udang Putih (Litopenaeus vannamei) terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara serta memenuhi permintaan pasaran domestik dan eksport.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Kilang Pemprosesan Udang Harimau Camaroe Bhd., bagi meninjau perkembangan industri hiliran akuakultur dan rantaian bekalan makanan laut negara, dekat sini, baru-baru ini.

Turut serta dalam lawatan itu, Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur DOF, Khazlita Adzim Abdol Aziz @ Ismail; Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti Perikanan DOF, Shamila Zainol; dan Timbalan Pengarah Perikanan Selangor, Ahmad Redzuan Ramli.

Menurut beliau, bagi tahun 2024, pengeluaran udang marin negara direkodkan sebanyak 60,970.79 tan, manakala pada tahun 2025 sebanyak 57,047.80 tan.

“Dari segi nilai ekonomi, subsektor ini mencatatkan nilai borong sebanyak RM1.66 bilion pada tahun 2024 manakala RM1.53 bilion pada tahun 2025, dengan anggaran nilai pasaran runcit melebihi RM2.1 bilion.

“Sehingga Mei 2026, pengeluaran udang marin negara telah mencapai 14,308.36 tan dengan nilai borong sebanyak RM386.57 juta, sekali gus mencerminkan keupayaan berterusan industri tempatan dalam memastikan bekalan udang negara kekal stabil dan mencukupi, ”katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, Selangor terus kekal sebagai antara penyumbang utama pengeluaran udang negara dengan pengeluaran sebanyak 2,463.17 tan bernilai RM84.85 juta pada tahun 2025.

Sehingga Mei 2026, Selangor telah merekodkan pengeluaran sebanyak 852.71 tan, sekali gus memperlihatkan potensi besar sektor akuakultur negeri dalam menyokong pembangunan industri udang negara.

Adnan turut meninjau operasi pemprosesan udang harimau bagi pasaran tempatan dan eksport serta bertukar pandangan dengan pihak industri mengenai usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan laut negara yang lebih mampan, moden dan berdaya saing.

Turut dibincangkan, aspek pematuhan piawaian keselamatan makanan antarabangsa, pembangunan produk nilai tambah, penerapan teknologi dan automasi serta pelaksanaan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi meningkatkan daya saing industri akuakultur Malaysia di peringkat global.

Ujarnya, bagi memastikan pertumbuhan industri terus mampan, DOF sentiasa memperkukuh kawalan biosekuriti di pintu masuk negara bagi mengurangkan risiko kemasukan penyakit akuakultur seperti Early Mortality Syndrome (EMS) dan White Spot Syndrome Virus (WSSV) yang berpotensi menjejaskan produktiviti sektor akuakultur negara.

“Selain itu, usaha transformasi industri akuakultur terus diperkasakan melalui pembangunan Zon Industri Akuakultur (ZIA), penggunaan teknologi moden seperti Recirculating Aquaculture System (RAS) dan Internet Kebendaan (Internet of Things – IoT) bagi pemantauan kualiti air secara masa nyata, serta pembangunan baka udang bebas penyakit Specific Pathogen Free (SPF) bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar, ”ujarnya lagi.

“Industri udang negara mempunyai asas yang kukuh serta disokong oleh pengusaha yang berpengalaman, penggunaan teknologi moden dan amalan biosekuriti yang semakin mantap.

“DOF akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri bagi memastikan bekalan udang negara kekal stabil, selamat dan berkualiti tinggi, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara,” tambahnya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat