Orang Melayu hanya ada Tanah Melayu bukan isu sensitif, Zaid Ibrahim sanggah Ramkarpal

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mendakwa kritikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh terhadap ucapan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai “Tanah Melayu” merupakan usaha politik untuk memalitkan label ekstremis kepada Menteri Besar Kedah itu.

Menurut Zaid, Sanusi tidak melakukan sebarang kesalahan, sebaliknya hanya merujuk kepada istilah “Tanah Melayu”, iaitu nama yang digunakan sebelum pembentukan Malaysia pada 1963, sebagai tanah warisan orang Melayu.

Kontroversi itu tercetus selepas Sanusi ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berkata,”Cina ada China, India ada India, Kemboja ada Kemboja, Melayu hanya ada Tanah Melayu,” sambil menegaskan Tanah Melayu merupakan satu-satunya tanah air warisan orang Melayu.

Menerusi hantaran di media sosial, Zaid mempersoalkan dakwaan Ramkarpal bahawa ucapan itu tidak sensitif sehingga memerlukan tindakan terhadap Sanusi.

“Bahagian mana dalam ucapannya yang tidak sensitif? Sanusi merujuk kepada Tanah Melayu sebagai tanah warisan orang Melayu,” katanya.

Beliau turut berkata, sekiranya Ramkarpal, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran atau Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mahu menganggap Malaya atau Tanah Melayu sebagai tanah leluhur mereka, tiada siapa yang menghalang mereka berbuat demikian.

Zaid bagaimanapun percaya serangan terhadap Sanusi bukan berpunca daripada kandungan ucapannya, sebaliknya bermotif politik.

“Kenapa semua orang menyerang Sanusi? Untuk membuktikan seorang pemimpin Melayu seperti Sanusi adalah seorang ekstremis kerana menyatakan perkara yang jelas?” katanya.

Terdahulu, Ramkarpal menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Sanusi dengan mendakwa kenyataan mengenai “Tanah Melayu” itu bersifat tidak sensitif serta berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.

Kenyataan Sanusi itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada pemimpin politik kerajaan dan pembangkang, sekali gus mencetuskan perbahasan mengenai tafsiran sejarah, identiti kebangsaan serta sensitiviti hubungan antara kaum di Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat