KUALA LUMPUR, – Bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Tun Abdul Razak dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas menjalani prosedur angiogram koronari di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Tetuan Shafee & Co. selaku peguam bagi pihak Najib, prosedur itu dilakukan susulan beberapa siri penilaian perubatan sejak beberapa minggu lalu yang mengesan penyumbatan pada salur darah koronari dan memerlukan pemeriksaan lanjut melalui angiogram.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa berdasarkan penilaian awal, pasukan pakar menganggarkan terdapat kebarangkalian sekitar 95 peratus bahawa Najib memerlukan intervensi lanjut sama ada melalui angioplasti belon atau pemasangan stent.
Bagaimanapun, selepas angiogram koronari dan penilaian menyeluruh selesai dijalankan, pakar-pakar yang merawat mendapati kedua-dua prosedur tersebut tidak diperlukan.
Sebaliknya, penyumbatan pada salur darah koronari itu boleh dikawal secara berkesan menerusi pengambilan ubat, pemantauan perubatan berterusan serta rawatan susulan.
Menurut kenyataan itu, keputusan untuk meneruskan angiogram dibuat sepenuhnya berdasarkan keperluan perubatan dan penemuan klinikal pada ketika itu memandangkan kebarangkalian yang tinggi bahawa intervensi lanjut mungkin diperlukan.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Dato’ Sri Najib kini berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan proses pemulihan di bawah pengawasan rapi doktor yang merawat,” menurut kenyataan tersebut.
Pihak keluarga turut merakamkan penghargaan kepada pakar kardiologi, pakar kardiotorasik, jururawat serta seluruh pasukan perubatan di Pusat Kardiotorasik dan Kardiologi, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang atas profesionalisme, kepakaran dan penjagaan yang diberikan sepanjang proses rawatan.
Keluarga Najib pada masa sama menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas doa, sokongan dan ucapan baik yang disampaikan sepanjang beliau menjalani prosedur perubatan itu.


