NILAI – Wakil rakyat pembangkang akan tetap menerima peruntukan sekiranya BERSATU diberi mandat membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas pilihan raya negeri kali ini.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan itu akan diberikan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira sama ada mereka mewakili kerajaan atau pembangkang.
Menurut beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan rakyat di setiap kawasan tidak terjejas hanya kerana memilih wakil rakyat daripada parti yang tidak membentuk kerajaan.
“Ini menunjukkan kita bersikap adil.
“Contohnya, waktu saya jadi Perdana Menteri, saya beri kepada semua Ahli Parlimen, sama ada dia kerajaan ataupun bukan kerajaan.
“Jadi, ini kita umumkanlah, semua akan dapat. Jika kita menang, mereka yang menjadi wakil rakyat daripada parti lain pun akan dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Tawaran BERSATU bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Muhyiddin menjelaskan, peruntukan berkenaan bukan untuk kegunaan peribadi wakil rakyat, sebaliknya bagi membantu penduduk di kawasan masing-masing.
“Peruntukan itu akan diberi kepada wakil rakyat untuk dia gunakan. Bukan untuk diri dia, tetapi digunakan untuk membantu penduduk di kawasan dia.
“Dia ada prosedur-prosedur yang perlu diikuti, yang biasanya diamalkan begitu,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut membandingkan pendekatan tersebut dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan ketika ini yang menurutnya tidak memberikan peruntukan sama rata kepada wakil rakyat bukan kerajaan.
“Malangnya kerajaan di pusat yang ada pada hari ini tak buat itu. Jadi wakil-wakil rakyat daripada parti yang bukan kerajaan, dia tak boleh dapat peruntukan. Jadi itu tidak adil,” katanya.
Muhyiddin melancarkan Tawaran BERSATU yang menggariskan beberapa komitmen parti itu kepada rakyat Negeri Sembilan sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya negeri kali ini.
Beliau berkata tawaran tersebut dirangka selepas mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan negeri serta usaha meningkatkan hasil negeri tanpa membebankan rakyat.
Menurutnya, tawaran itu turut merangkumi pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan usia dengan pendekatan “nobody is left behind”.


