KUALA LUMPUR – Gabungan Suara Rakyat (GASURA) kali ini membuka peluang kepada bekas banduan yang pernah menjalani hukuman di penjara untuk mendapatkan pekerjaan untuk menjadi pengawal peribadi.
Pengerusi Bersekutu GASURA Datuk Seri Raj Manickam berkata peluang itu hadir melalui satu kerjasama dengan Timbalan Pengerusi Bersekutu Malaysian Bodyguard (MBDG) Datuk Thayalan Murugayah untuk memberikan satu jalan penyelesaian kepada bekas banduan yang gagal mendapatkan pekerjaan.
“Selepas dibebaskan, kebanyakan bekas banduan susah untuk mendapatkan pekerjaan untuk mencari rezeki menyara keluarga kerana stiga masyarakat ke atas mereka sebagai bekas banduan.
“Oleh itu, saya menjalinkan kerjasama untuk menawarkan peluang ini dengan memberikan kursus pengawal peribadi percuma dengan sijil dari Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya kepada media baru-baru ini.
Beliau berkata pada 25 Julai nanti di Subang Jaya, satu program akan diadakan untuk mencari 10 hingga 15 orang individu bekas banduan yang berminat untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pengawal peribadi untuk dipilih menyertai kursus.
“Kita menjemput semua para bekas banduan dari seluruh negara untuk datang dan raih peluang ini untuk mendapatkan pekerjaan seterusnya sumber pendapatan,”katanya.
Datuk Seri Raj yang juga seorang Presiden Bersekutu MBDG berkata, tawaran turut dibuka kepada wanita-wanita yang turut berminat.
“Kita juga menerima wanita yang ingin mencuba peluang mereka dengan mengikuti kursus ini,” katanya.
Beliau berkata ketika ini masalah orang tiada kerja begitu serius dan usaha mereka untuk mendapatkan pekerjaan amat sukar dengan situasi ekonomi yang ada sekarang.
“Saya mengambil usaha ini untuk cuba membuka peluang untuk mereka yang pernah menjalani hukuman penjara untuk ada peluang mereka boleh kembali bekerja dan mendapatkan wang untuk keluarga,” tambahnya.
Menurut Datuk Seri Raj, kebanyakan pengawal peribadi ada kerja yang stabil dengan pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan dan ia boleh membantu mereka menjalani kehidupan seharian dengan baik.
Beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Selayang di bawah Sekretarian GASURA dibawah Pengerusi Penyelarasnya Datuk Mohd Ridzuan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ridzuan IKHLAS.
“Saya perlu dengar masalah ini dan cari jalan penyelesaian untuk mereka kerana Dato’ Thayalan juga merupakan seorang bekas banduan yang kembali bangkit untuk mengubah hidupnya dan sekarang boleh menjadi seorang pengawal peribadi,” katanya.
Mereka yang berminat boleh menghantar permohonan mereka ke nombor Datuk Mohd Ridzuan 019-206 6666.


