KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kemudian menangkap individu yang didakwa mencuri duit Tabung Haji (TH).
Adun Merlimau itu menegaskan bahawa rakyat juga berhak tahu siapa penyakau yang dimaksudkan Perdana Menteri itu.
“Saya mohon kepada Perdana Menteri untuk tangkap dan dakwa orang yang dikatakan “sakau” duit Tabung Haji tersebut.
“Rakyat berhak untuk tahu siapa yang sakau.
“Suruhanraya Diraja (RCI) terhadap Tabung Haji telah dilakukan, maka mohon dedah dan tangkap mereka yang sakau duit Tabung Haji tersebut,” desak Akmal.
Kerana katanya, sejak dari zaman Anwar menjadi pembangkang isu Tabung Haji ini telah diperkatakan, tetapi sehingga hari ini tiada dakwaan telah dibuktikan kepada mana-mana individu.
“Kepada PMX kami berharap untuk tangkap siapa yang sakau tu,” gesa beliau lagi.
Anwar sebelum itu ketika bercakap di Seremban melahirkan rasa kesal kerana masih ada pihak tidak mengetahui perbuatan sakau yang terjadi sebelum ini.
Beliau malah berasa kesal ada pihak yang marah apabila diberitahu mengenai perbuatan sakau termasuk dalam isu membabitkan Tabung Haji dan 1MDB.
“Saya tahulah cerita songlap ini (ada) orang cukup marah. Mana ada songlap, mana ada bukti?.. ehh bilion ringgit orang sakau kamu tak tahu lagi ya?
“Sebut saja Tabung Haji, 1MDB… sebut saja. Beli helikopter.. semua ada kisah,” kata Perdana Menteri.



