Umno-PH Negeri Sembilan sudah lama tidak harmoni, tarik sokongan bukan mendadak – Mahdzir

SEREMBAN- Keputusan dan tindakan 14 Adun Umno- Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, sehingga mencetuskan krisis politik di negeri itu bukanlah tindakan tiba-tiba.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu, masalah tersebut telah berlarutan sejak awal lagi dan menunjukkan bahawa hubungan antara parti-parti dalam kerajaan tidak benar-benar harmoni.

“Saya tidak melihat keputusan menarik sokongan itu berlaku secara tiba-tiba. Bagi saya, masalah tersebut telah berlarutan sejak awal lagi dan menunjukkan bahawa hubungan antara parti-parti dalam kerajaan tidak benar-benar harmoni.

“Jika hubungan itu benar-benar baik, saya tidak fikir keadaan akan sampai ke tahap menarik sokongan secara terbuka.

“Pada pandangan saya, kerjasama politik sebenarnya banyak bergantung kepada persefahaman antara parti-parti yang membentuk kerajaan.

“Dalam keadaan ini, saya melihat tidak wujud satu bentuk persefahaman yang benar-benar kukuh atau diperkukuhkan melalui mekanisme yang jelas mengenai bagaimana kerjasama itu perlu dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran,” katanya ketika Wawancara Mandat @SuaraTV sempena Pilihan Raya Negeri Sembilan.

Menurut Mahdzir, apabila kerajaan dibentuk, semua pihak bersetuju untuk bersama, termasuk pembahagian tanggungjawab dalam pentadbiran.

“Namun, sekiranya tiada persefahaman yang benar-benar mantap, pelbagai perkara boleh berlaku sepanjang perjalanan sesebuah kerajaan.

“Sudah tentu terdapat beberapa perkara yang diketahui oleh pimpinan kedua-dua pihak, namun saya tidak mahu mengulasnya secara terperinci kerana ia melibatkan urusan dalaman mereka.

“Apa yang boleh saya katakan ialah terdapat isu-isu yang telah lama tidak diselesaikan, dan pada pandangan saya ia tidak ditangani dengan sebaiknya sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan tersebut,” jelas beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat