Calon PH cadang jajaran Sungai Ampangan dibangunkan sebagai hab rekreasi

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Mohamad Nazri Kassim mencadangkan jajaran Sungai Ampangan dibangunkan sebagai hab rekreasi yang dilengkapi laluan pejalan kaki, trek berbasikal dan ruang perniagaan kecil.

Beliau berkata, cadangan itu boleh direalisasikan melalui kerjasama antara kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan sektor swasta bagi mewujudkan kawasan riadah yang mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Saya mempunyai hasrat untuk melihat kawasan sungai di Ampangan dibangunkan sebagai kawasan rekreasi.

“Sekiranya ada kerjasama antara kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Seremban dan sektor swasta, saya percaya jajaran sungai ini boleh diperindahkan dengan laluan pejalan kaki, trek berbasikal, kawasan riadah serta ruang perniagaan kecil yang mampu memberi manfaat kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas *Mandat Negeri Sembilan* terbitan SuaraTV sempena Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan ke-16.

Mohamad Nazri berkata, cadangan pembangunan itu perlu bergerak seiring dengan usaha berterusan untuk membersihkan dan menyelenggara sungai bagi mengurangkan risiko banjir di Ampangan.

Menurutnya, kedudukan Ampangan di kawasan rendah serta dilalui tiga batang sungai menyebabkan aspek kebersihan, penyelenggaraan longkang, parit dan sungai perlu diberikan perhatian serius.

“Antara perkara yang paling kerap dibangkitkan ialah penyelenggaraan longkang, parit, pengurusan sampah, kebersihan sungai serta penyelenggaraan jalan.

“Saya juga melihat Ampangan mempunyai potensi untuk dipertingkatkan dari aspek landskap supaya kawasan ini menjadi lebih hijau, lebih selesa dan lebih berkualiti untuk didiami,” katanya.

Beliau berkata, penduduk Ampangan masih mengingati kejadian banjir besar pada 2020 dan 2021 yang menjejaskan banyak kawasan perumahan di sepanjang sungai.

Katanya, masalah longkang tersumbat dan sungai melimpah ketika hujan lebat menjadikan penyelenggaraan sungai secara berterusan sebagai antara keutamaan utama yang perlu diberikan perhatian.

Mohamad Nazri berkata, program penyelenggaraan sungai secara timbal balik yang diperkenalkan kerajaan Negeri Sembilan sejak 2021 menunjukkan hasil positif apabila kejadian banjir di Ampangan semakin berkurangan.

Melalui kaedah tersebut, sungai dibersihkan, dilebarkan dan didalamkan, manakala pasir yang dikeluarkan dijual bagi membantu menampung kos penyelenggaraan.

Selain menangani risiko banjir, beliau turut mahu meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan Ampangan melalui kerjasama lebih erat dengan MBS dalam aspek pengurusan sampah, penyelenggaraan longkang serta kerja landskap.

Mohamad Nazri berkata, lebih banyak kemudahan sukan dan rekreasi juga perlu disediakan memandangkan hampir separuh daripada penduduk Ampangan terdiri daripada golongan berusia 40 tahun ke bawah.

Menurutnya, gelanggang sepak takraw, badminton dan kemudahan sukan lain perlu diselenggara dengan baik serta ditambah berdasarkan keperluan masyarakat setempat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat