SEREMBAN – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin menempelak Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru rakyat di Negeri Sembilan supaya menukar baju daripada merah (Pakatan Harapan) kepada biru (Barisan Nasional) sekiranya mahukan pembangunan.
Foong Hin yang juga Pengarah Dasar DAP sebaliknya menggesa rakyat di Negeri Sembilan agar tidak lagi menjalin persahabatan dengan kumpulan berpakaian biru memandangkan parti itu dilihat sebagai susah untuk bekerjasama.
Foong Hin mendakwa dalam ucapan Zahid pada Selasa di Negeri Sembilan, Pengerusi BN itu diminta menukar baju korporat yang berwarna merah namun beliau memaklumkan kepada hadirin supaya tukar kepada baju biru kerana warna itu akan membawa pembangunan kepada Negeri Sembilan.
Memetik laporan akhbar berbahasa Cina Foong Hin memberitahu bahawa Zahid berkata, sekiranya BN dapat membentuk kerajaan di Negeri Sembilan, parti itu berhasrat menjadikan negeri berkenaan sebagai kawasan perindustrian baharu dengan menarik lebih banyak pelaburan asing bagi meningkatkan hasil negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
“Zahid kata, ia mampu dilaksanakan kerana Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) adalah daripada BN, sekali gus membolehkan pelabur baharu ditempatkan di Negeri Sembilan yang mempunyai banyak kawasan perindustrian berpotensi untuk dibangunkan,” dakwa Foong Hin dalam ceramah kelompok PH di Seremban malam ini.
Pun begitu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu tetap mengakui sumbangan MITI namun katanya tidak wajar juga menafikan sumbangan daripada parti berbaju merah terutama Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan (MOT).
“MITI memang buat banyak sumbangan. Tapi kenyataan Zahid tidak semestinya betul.
“Perlu dikenang juga pembangunan yang dibawa oleh baju merah terutama Loke di Negeri Sembilan,” bidas beliau.
Foong Hin bagaimanapun berkata, beliau sudah berjanji untuk tidak akan mengkritik Menteri dan Timbalan Menteri di Persekutuan namun fakta harus dibetulkan.
“Di sini saya mahu memberikan contoh pembangunan yang dibawa oleh kerajaan, termasuk usaha yang dibuat oleh Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan. Apakah perancangan beliau dan perancangan Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri supaya kita dapat membangunkan Negeri Sembilan secara bersama?
“Daripada lima projek berimpak tinggi yang dicadangkan, tiga daripadanya berkaitan dengan sektor pengangkutan. Pertama, kita mencadangkan pembinaan laluan pintasan rel yang menghubungkan Senawang ke Port Klang. Cadangan ini penting bagi meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan dan pengangkutan rel supaya barangan tidak perlu melalui Kuala Lumpur terlebih dahulu. Kita mahu menjimatkan masa dan memastikan produk yang dihasilkan di kilang-kilang di Negeri Sembilan dapat dihantar dengan lebih cepat dan efisien.
“Kedua, kita mahu menjayakan projek Seremban Central dan meningkatkan kekerapan perkhidmatan ulang-alik antara Seremban dengan Kuala Lumpur. Ini merupakan tanggungjawab MOT.
“Ketiga, kita mahu membangunkan sebuah hab pelabuhan di Negeri Sembilan sendiri. Negeri Sembilan tidak seharusnya selama-lamanya bergantung kepada Pelabuhan Klang atau pelabuhan-pelabuhan lain di Selat Melaka.
“Saya ingin jelaskan bahawa jika kita hanya melihat manifesto pihak lain, apabila dibaca kandungannya, ia sebenarnya agak kosong. Mereka hanya menyebut tentang menteri atau individu tertentu tanpa memberikan perancangan pembangunan yang benar-benar jelas,” ujarnya.
Justeru Foong Hin menyeru pengundi di Negeri Sembilan supaya memenangkan calon-calon PH.
“Kita nak pilih Adun Kerajaan PH dan memastikan kerajaan negeri yang kuat.
“Bila kita kuat, kita tak payah lagi bersama kawan berpakaian biru (BN) lagipun mereka susah nak bekerjasama, jadi tak payahla bekerjasama,” tegas Foong Hin.


