KUALA LUMPUR – Kes pendedahan maklumat peribadi melibatkan pempengaruh Khairul Aming yang tular beberapa hari lepas disifatkan sebagai satu perkembangan yang merisaukan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, kejadian itu memperlihatkan bagaimana ada pihak boleh mendapatkan akses kepada maklumat peribadi dan juga beberapa maklumat lain yang sepatutnya tidak didedahkan kepada umum.
“Aduan yang saya baca dalam Threads daripada saudara Khairul Aming memberi satu bayangan individu yang tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi dan akses kepada sistem yang dimiliki oleh sebuah syarikat telekomunikasi.
“Saya telah bertemu dengan pihak syarikat telco tersebut dan wakilnya memaklumkan mereka sedang menghubungi saudara Khairul Aming tapi saya akan minta pihak SKMM mendapatkan laporan penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan International Regulatory Conference 2026 di ibu negara, hari ini.
Datuk Seri Fahmi menyatakan sekiranya ada mana-mana pihak melihat insiden serupa, mereka perlu segera buat laporan kepada SKMM supaya pihak SKMM ada rekod dan bukti untuk buat tindakan susulan.
“Sesiapa yang dengan sengaja menyebarkan maklumat data peribadi adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi, maka tindakan boleh diambil berdasarkan akta tersebut,” katanya.
Sementara itu, sekiranya ada aduan dibuat ke atas platform berkaitan kecerdasan buatan (AI)l, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu mengambil tindakan berlandaskan undang-undang.
Datuk Seri Fahmi berkata jikalau ada orang ramai yang merasakan gambar, wajah atau diri mereka disunting dan disalahgunakan menggunakan AI, mereka boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Sekiranya ada sesiapa di khalayak umum yang berasa gambar wajah telah disalahgunakan diedit menggunakan AI terutama tanpa pengetahuan dan persetujuan, maka mereka boleh buat laporan bukan hanya kepada platform tersebut tetapi juga kepada pihak SKMM,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan kepada aduan-aduan ini SKMM boleh mengambil beberapa tindakan.
“Selagi kita tidak ada kerangka atau undang-undang khusus mengenai kawal selia kecerdasan buatan yang sedang digubal oleh Kementerian Digital, ini langkah yang kita sedang ambil,” katanya.
International Regulatory Conference 2026 berlangsung selama 2 hari bermula hari ini dengan tema “Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust” di sebuah hotel di ibu negara menghimpunkan lebih 500 peserta dan 40 penceramah dari dalam negara, negara ASEAN dan pelbagai negara lain.
Persidangan ini menghimpunkan ratusan delegasi penting termasuk pengawal selia, pembuat dasar, peneraju industri, ahli akademik, organisasi antarabangsa dan pakar teknologi.
Fokus utamanya ialah membincangkan kawal selia kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab, kesan AI terhadap kemanusiaan, serta potensi dan risiko teknologi kuantum dalam memintas sistem penyulitan sedia ada.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.



