Bermula dengan sebuah kiosk kecil yang menjual kentang goreng di Kota Kinabalu tujuh tahun lalu, Happy Potato kini muncul sebagai antara jenama makanan tempatan yang berkembang paling pantas apabila berjaya melebarkan sayap ke empat pasaran baharu dalam tempoh hanya enam bulan.
Pencapaian itu menyaksikan Happy Potato kini beroperasi di lima negara iaitu Malaysia, Bangladesh, Indonesia, China dan Kemboja dengan jumlah keseluruhan 126 cawangan. Lebih membanggakan, perkembangan tersebut berlaku ketika rangkaian itu terus mencatat pertumbuhan di pasaran tempatan apabila memiliki 117 cawangan di seluruh negara.
Apa yang dicapai oleh Happy Potato bukan sekadar penambahan bilangan cawangan. Ia menunjukkan bahawa sebuah jenama tempatan yang bermula dengan idea yang sederhana mampu diterima di negara lain apabila mempunyai sistem operasi yang tersusun, produk yang konsisten dan rakan francais yang berkongsi matlamat yang sama.

Happy Potato diasaskan pada 2019 menerusi pembukaan cawangan pertamanya di Suria Sabah, Kota Kinabalu sebelum memasuki Semenanjung Malaysia pada Oktober 2023. Sambutan yang diterima mendorong syarikat memperluaskan rangkaian francais sehingga berjaya membuka puluhan cawangan dalam tempoh yang singkat.
Tahun ini menjadi titik penting dalam perjalanan syarikat apabila Bangladesh menjadi destinasi antarabangsa pertama pada Februari, diikuti Indonesia pada bulan yang sama. Pada Mei, Happy Potato membuka cawangan pertamanya di China sebelum menambah sebuah lagi cawangan sebulan kemudian. Julai pula menyaksikan jenama itu memasuki Kemboja sekali gus melengkapkan pengembangan ke empat negara baharu dalam tempoh enam bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Happy Potato, Edmund Lim berkata, kejayaan tersebut adalah hasil persediaan yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu bagi memastikan setiap aspek perniagaan benar-benar bersedia sebelum dibawa ke luar negara.
Menurut beliau, membuka cawangan bukanlah cabaran terbesar. Perkara yang lebih penting ialah memastikan pelanggan di mana-mana negara menikmati kentang goreng yang mempunyai rasa, kualiti dan pengalaman yang sama setiap kali mereka mengunjungi Happy Potato.
Beliau berkata, setiap negara mempunyai budaya dan cara operasi yang berbeza. Justeru, pengalaman membuka cawangan di beberapa pasaran dalam tempoh singkat memberi banyak pengajaran kepada syarikat untuk memahami keperluan setiap negara tanpa mengabaikan identiti jenama yang telah dibina sejak awal.
Edmund berkata, syarikat menyasarkan untuk mempunyai 200 cawangan di Malaysia menjelang tahun 2028, selain membawa Happy Potato ke tiga hingga lima lagi negara di Asia.
Di sebalik pertumbuhan yang dicapai, syarikat tetap meletakkan kualiti sebagai perkara paling utama. Pengarah dan Pengasas Bersama Happy Potato, Colleen Phang berkata, sejak hari pertama beroperasi, matlamat mereka tidak pernah berubah, iaitu memastikan setiap pelanggan menikmati kentang goreng yang enak dengan standard yang sama di setiap cawangan.
Katanya, kentang goreng memerlukan pengendalian yang teliti kerana perubahan suhu boleh menjejaskan tekstur dan rasanya. Atas sebab itu, Happy Potato memilih untuk bekerjasama dengan McCain Foods bagi memastikan bahan mentah yang digunakan memenuhi standard yang ditetapkan.

Beliau berkata, teknologi yang digunakan oleh McCain Foods membantu memastikan kentang goreng kekal rangup di bahagian luar, lembut di bahagian dalam serta mengekalkan rasa asalnya walaupun untuk pesanan bawa pulang atau penghantaran.
Sempena ulang tahun ketujuh penubuhannya dan sambutan Hari Kentang Goreng Sedunia pada 13 Julai lalu, Happy Potato bersama McCain Foods menganjurkan promosi “Unlimited Free Flow Shaker Fries” di Sunway Square Mall, Bandar Sunway.
Pada masa sama, syarikat turut mengadakan kempen Happy Shake di semua cawangannya di Malaysia sehingga 8 September. Melalui kempen itu, pelanggan boleh memilih sendiri serbuk perisa kegemaran sebelum menggoncang kentang goreng mereka. Happy Shake ditawarkan pada harga RM9.90 secara à la carte atau RM5.90 menerusi pembelian kombo. Pelanggan juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dan pelbagai aktiviti di media sosial dengan tawaran hadiah mingguan serta hadiah utama.
Dalam tempoh tujuh tahun, Happy Potato telah melalui perubahan yang cukup besar. Daripada sebuah jenama tempatan yang hanya dikenali di Sabah, ia kini membawa nama Malaysia ke beberapa negara di Asia. Perjalanan ini menunjukkan bahawa dengan perancangan yang baik, penjagaan kualiti yang berterusan dan kerjasama bersama rakan francais yang tepat, jenama tempatan juga mampu berkembang di pentas antarabangsa.



