NILAI – Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Dato’ Sri Megat D. Shahriman Zaharudin merupakan antara tokoh nasional yang dipertaruhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Megat D. Shahriman dicalonkan di DUN Seri Menanti, manakala Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz akan bertanding di Sikamat dan Ketua Bersekutu BERSATU Malaysia, Sri Sanjeevan Ramakrishnan di Jeram Padang.
Ketiga-tiga mereka merupakan antara 24 calon BERSATU yang diumumkan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Nilai, petang ini.
Pengumuman itu menyaksikan BERSATU mengetengahkan gabungan pemimpin parti, tokoh sukan, profesional dan muka baharu untuk bertanding di 24 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Daripada keseluruhan calon yang diumumkan, tiga merupakan wakil Bersekutu, iaitu sayap bukan Bumiputera BERSATU, manakala dua lagi ialah calon daripada Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).
Selain tiga tokoh berkenaan, BERSATU turut menamakan Dato’ V. Saravan Kumar Veerasamy di Nilai, Dato Haji Zamri Md Said di Linggi, Mohamad Hanifah Abu Baker di Labu dan Haji Mohd Nazree Mohd Yunus di Paroi.
Pengumuman itu mengesahkan BERSATU akan bertanding menggunakan logo parti sendiri dan bukan atas tiket Perikatan Nasional (PN), manakala PAS kekal sebagai parti anggota PN dalam PRN berkenaan.
PRN Negeri Sembilan Ke-16 melibatkan pertandingan bagi semua 36 kerusi DUN dengan 19 kerusi diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah dan membentuk kerajaan negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 18 Julai, pengundian awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos 2026.
Senarai penuh calon BERSATU:
N.02 Pertang – Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus
N.03 Sungai Lui – Mazrulhisham Abd Mansor
N.04 Klawang – Muhammad Adib Musa
N.05 Serting – Muhammad Noraffendy Mohd Salleh
N.06 Palong – Rebin Birham
N.07 Jeram Padang – Sri Sanjeevan Ramakrishnan
N.09 Lenggeng – Zool Amali Hj Hussin
N.10 Nilai – Dato’ V. Saravan Kumar A/L Veerasamy
N.12 Temiang – Fazly Hamid
N.13 Sikamat – Datuk Tun Faisal Ismail Aziz
N.14 Ampangan – Noor’Azah Harun
N.15 Juasseh – Mohd Zuhaimi Md Yusof
N.16 Seri Menanti – Dato’ Sri Megat D. Shahriman Dato’ Zaharudin
N.17 Senaling – Mohd Izaffi Istear Khan
N.20 Labu – Mohamad Hanifah Abu Baker
N.22 Rahang – Tang Jay Son
N.23 Mambau – Sarawanan Nagayah
N.24 Seremban Jaya – Mahendran Ramasamy
N.25 Paroi – Haji Mohd Nazree Mohd Yunus
N.28 Kota – Akmal Noradzmi Abd Rahim
N.31 Bagan Pinang – Sheikh Junaidy Jamaludin
N.32 Linggi – Dato Haji Zamri Md Said
N.33 Sri Tanjung – Leevineshwaran A/L Murugan
N.34 Gemas – Zolazrai Capt. Zolkapli.


