NILAI – Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker mempersoalkan pihak yang sebenarnya mengkhianati perjuangan gabungan pembangkang apabila PAS mencalonkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad, sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketika berucap pada majlis pengumuman calon BERSATU di Nilai hari ini, Hanifah membangkitkan persoalan mengenai tuduhan PAS sebelum ini yang mendakwa BERSATU mengkhianati perjuangan susulan penarikan sokongan beberapa ADUN dalam krisis politik Negeri Sembilan.
Beliau berkata, jika benar tindakan menarik sokongan itu dianggap sebagai satu pengkhianatan, mengapa individu yang menjadi antara punca kemarahan PAS kini dipilih sebagai calon rasmi PN yang diterajui PAS.
“Sekarang saya hendak tanya, siapa sebenarnya yang mengkhianati? Dahulu BERSATU dituduh pengkhianat kerana isu SD. Tetapi orang yang menarik SD itu hari ini diangkat menjadi calon mereka,” katanya.
Ridzuan sebelum ini mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan melepaskan jawatan sebagai Ketua Bahagian Tampin berkuat kuasa 11 Julai 2026 bagi mencari wadah politik baharu.
Sebelum itu, pada awal Mei lalu, Ridzuan bersama Mohamad Hanifah Abu Baker mengambil pendirian berkecuali dalam kemelut politik Negeri Sembilan dengan alasan mahu memastikan kestabilan pentadbiran negeri selepas UMNO memutuskan kekal bersama Kerajaan Perpaduan.
Keputusan tersebut mencetuskan kritikan daripada kepimpinan PAS yang menganggap tindakan berkenaan menjejaskan usaha pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri.
Kini, pencalonan Ridzuan di bawah tiket PN yang dipimpin PAS dilihat menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian parti itu terhadap isu yang sebelum ini dijadikan asas untuk mengkritik BERSATU.
Dalam perkembangan sama, BERSATU mengumumkan barisan calonnya bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan, dengan parti itu menegaskan akan meneruskan perjuangan sebagai alternatif kepada kerajaan negeri walaupun tidak lagi bersama PAS dalam gabungan politik yang sama.



