TOK 2026 tampil dengan pelbagai pengisian budaya di Stadium Darul Aman, 30 Julai-2 Ogos ini

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah, Kedah Tourism dan Nabilah Bahrin Group Sdn. Bhd. akan menganjurkan Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 di Pekarangan Stadium Darul Aman, dekat sini pada 30 Julai hingga 2 Ogos ini.

TOK 2026 merupakan program pelancongan budaya yang terbesar di Kedah yang menghimpunkan keunikan seni, budaya, kepelbagaian warisan, makanan tradisional dan identiti masyarakat Kedah dalam satu platform yang menarik, kata EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Dato’ Hj. Mohd Salleh Saidin.

Mohd Salleh berkata program ini juga merupakan salah satu pendekatan bagi menyemarakkan aktiviti seni budaya warisan Negeri Kedah, meningkatkan kefahaman dan apresiasi masyarakat terhadap seni budaya serta mengangkat Kedah sebagai destinasi pelancongan budaya yang mempunyai identiti dan keunikan tersendiri.

‎Beliau berkata demikian pada sidang media Program Pelancongan Budaya: TOK 2026 di Dewan Jamuan Negeri, Aras 6, Blok E, Wisma Darul Aman dekat sini, pada Isnin.

Turut ‎hadir, Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris; Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd Zaidy Omar; dan Ketua Pegawai Eksekutif NB Group, Nabilah Bahrain

Mohd Salleh berkata, penganjuran TOK 2026 amat signifikan kerana ia menjadi sebahagian daripada usaha MOTAC bersama Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan sektor pelancongan budaya selari dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Menurut beliau, TOK dijangka memberi impak positif kepada ekonomi setempat melalui penglibatan para usahawan, pengusaha makanan, penggiat seni budaya dan industri kreatif yang terlibat secara langsung dalam aktiviti jualan, pameran dan demonstrasi.

Katanya, pada tahun ini, Fantastic Food Fest by Kak Nab dijangka melibatkan sebanyak 135 vendor makanan yang terdiri daripada 31 vendor tempatan, 25 vendor influencer dan 79 vendor jemputan.

“Penglibatan sembilan Pejabat Daerah turut mengetengahkan keunikan makanan dan produk warisan yang menjadi identiti setiap daerah di Kedah.

“Bagi menjadikan penganjuran pada tahun ini lebih menarik dan memberi pengalaman baharu kepada pengunjung, beberapa elemen istimewa diperkenalkan antaranya persembahan Silat Fusion gabungan Kumpulan Kesenian JKKN dan Kumpulan Satelit Negeri Kedah, penyertaan sembilan daerah melalui Demonstrasi Masakan Tradisional dan konsep Mini Pavilion yang lebih interaktif.

“TOK 2026 mengetengahkan elemen kehidupan masyarakat Kedah, dengan pelbagai aktiviti dan acara turut mewarnai temasya ini antaranya, Malam Gema Selawat, Cita Rasa Warisan Orang Kedah, Let’s Maze Heritage (permainan masyarakat dahulu seperti batu seremban, guli, jengkek, lompat getah dan tuju tin), Pameran Tanjak dan Keris.

“Selain itu, pelbagai pertandingan Pencungkilan Bakat seperti Pertandingan Gema Qasidah, Pertandingan Kukur Nyior, Pertandingan Memasak, Pertandingan Peragaan Busana Watak Mek Mulung dan Lenggok Orang Kedah 3.0, ”katanya lagi.

Tambahnya, temasya ini turut dimeriahkan melalui kerjasama Fantastic Food Festival by Kak Nab yang bakal menampilkan pelbagai festival makanan viral, penyertaan pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan TikTok terkenal. Kehadiran mereka dijangka menjadi tarikan tambahan kepada pengunjung serta menyemarakkan lagi suasana temasya.

“Penganjuran program ini juga merupakan usaha Kerajaan Negeri dalam meningkatkan pulangan ekonomi (Return On Investment – ROI), memperluaskan peluang keusahawanan serta memperkukuhkan kedudukan Kedah sebagai salah satu destinasi pelancongan budaya utama negara, ”tambahnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris berkata, penganjuran TOK 2026 bukan sahaja bertujuan untuk melestarikan warisan budaya Kedah, malah membantu memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

“TOK 2026 juga sebagai platform utama dalam mengekalkan identiti budaya tempatan selain mengukuhkan seni dan budaya, ”ujarnya.

Dalam pada itu, bagi menjayakan penganjuran TOK 2026, pelbagai agensi kerajaan, syarikat swasta, syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berganding bahu sebagai rakan strategik.

Antaranya, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Muzium Negeri Kedah, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Telekom Malaysia Bhd (TM), Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), serta pelbagai agensi lain.

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah
dijadual hadir mencemar duli merasmikan TOK 2026 pada 31 Julai 2026 (Jumaat), jam 8.45 malam.

Orang ramai dan pelancong dari dalam serta luar negara dijemput bersama-sama hadir bagi memeriahkan TOK 2026. Maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, boleh dilayari melalui laman sesawang JKKN:- www.jkkn.gov.my atau facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.
-SUARA.TV ‎

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat