MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka serta menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat susulan kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri Melaka bagi membolehkan pewujudan jawatan ADUN lantikan yang dibantah oleh DAP.
Kerk berkata, beliau tidak dapat terus mempertahankan kedudukannya dalam kerajaan negeri selepas pindaan berkenaan diluluskan kerana menganggapnya bertentangan dengan prinsip demokrasi.
“Saya meletak jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka dan menarik diri daripada kerajaan negeri kerana saya tidak dapat mempertahankan prinsip demokrasi negeri Melaka susulan kelulusan usul untuk mewujudkan jawatan ADUN lantikan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, beliau bersama ADUN DAP lain telah menyatakan bantahan terhadap cadangan itu sejak awal, sama ada secara terbuka mahupun menerusi saluran pentadbiran.
Katanya, DAP berpandangan pewujudan jawatan ADUN lantikan bukan sahaja bertentangan dengan semangat demokrasi, malah berpotensi membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
Kerk mengakui pindaan berkenaan tetap boleh diluluskan tanpa sokongan DAP atau Pakatan Harapan kerana Barisan Nasional (BN) mempunyai jumlah ADUN melebihi majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Negeri Melaka.
Beliau turut mendakwa usul tersebut mendapat sokongan tiga ADUN pembangkang.
Bagaimanapun, katanya, wakil rakyat DAP tetap memilih untuk menyatakan pendirian mereka dengan jelas dengan menolak usul berkenaan dan menarik diri daripada pentadbiran negeri.
“Tindakan kami untuk keluar daripada kerajaan negeri Melaka tidak akan menggugat kestabilan pentadbiran negeri kerana Barisan Nasional Melaka masih mempunyai 20 orang ADUN,” katanya.
Kerk menegaskan, wakil rakyat seharusnya dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya dan prinsip tersebut tidak boleh diketepikan atas apa-apa alasan.
“Demokrasi hanya akan terus kukuh apabila kita mempertahankan hak rakyat untuk memilih wakil mereka melalui pilihan raya.
“Prinsip ini tidak harus diketepikan atas apa jua alasan kerana ia adalah asas kepada sistem demokrasi kita,” katanya.
Beliau berkata, jawatan Timbalan Speaker merupakan satu amanah yang dihargainya, namun beliau tidak boleh terus memegang jawatan dalam kerajaan yang mengambil keputusan bercanggah dengan prinsip perjuangannya.
“Saya membesar dalam generasi yang percaya bahawa demokrasi ialah keberanian untuk mempertahankan prinsip, walaupun pendirian itu bukan pendirian yang paling mudah.
“Selagi saya diberi amanah oleh rakyat, saya akan terus mempertahankan prinsip tersebut,” katanya.
DAP Melaka pada Selasa mengumumkan penarikan diri daripada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas DUN Melaka meluluskan pindaan berkaitan pewujudan ADUN lantikan.
Ab Rauf dilaporkan berkata beliau menghormati keputusan tersebut dan tidak akan menghalang wakil DAP daripada melepaskan jawatan masing-masing.
Beliau turut menegaskan keputusan DAP itu tidak menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri kerana BN mempunyai 20 ADUN dan tidak bergantung kepada PH untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Melaka 2021.


