KUALA LUMPUR – Slogan “Maju Johor” yang selalu dicanang oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika mentadbir dan juga berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lepas adalah slogan yang beri manfaat kepada semua rakyat dan ia membantu kemenangan Barisan Nasional (BN).
Naib Ketua UMNO Bahagian Gerik, Suhasni Hayani berkata slogan itu ditambah dengan pendekatan beliau yang agresif dalam memajukan ekonomi negeri dan menyelesaikan isu infrastruktur terbukti terbukti berjaya.
“Slogan itu telah mampu memikat hati pengundi atas pagar dan golongan muda,” katanya kepada Suara TV hari ini.
Menurut beliau, strategi Datuk Onn Hafiz mentadbir Johor juga memberi kelebihan moral dan politik yang sangat besar kepada kepimpinan BN di peringkat pusat, pimpinan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Kemenangan BN di Johor juga menyuntik semangat berjuang yang lebih kuat untuk semua jentera BN di seluruh negara,” ujarnya.
Suhasni berkata pencapaian itu turut menjadi penanda aras yang penting kerana ia menunjukkan BN terus relevan dan masih dipercayai rakyat.
Katanya, PRN Johor mencerminkan hasrat pengundi yang mahu kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan ekonomi.
“BN tidak boleh mendabik dada tetapi perlu bekerja lebih keras untuk memberikan khidmat bakti terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya.
Slogan “Maju Johor” adalah satu visi pembangunan komprehensif yang dibawa oleh Datuk Onn Hafiz dan ia merupakan satu pelan tindakan strategik yang dikenali sebagai Agenda Maju Johor 2030 untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang maju.
Ia digerakkan melalui enam teras utama iaitu menarik pelaburan asing dan domestik serta memanfaatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan integriti pentadbiran.
Menaik taraf jalan raya, pengangkutan awam dan kemudahan utiliti, menyediakan rumah mampu milik, bantuan kebajikan dan akses kesihatan yang lebih baik.
Menjamin keselamatan rakyat, kedaulatan sempadan dan pengurusan bencana yang efektif serta memperkasakan golongan belia melalui program pendidikan, latihan kemahiran dan peluang kerjaya.


