KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman 7 tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta, selepas Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Isnin menolak rayuan pendakwaan.
Dalam penghakiman majoriti 2-1, dua hakim yang membarisi panel, iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, memutuskan Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada Jun tahun lalu.
Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais, yang mengetuai panel hakim itu bagaimanapun membuat keputusan berbeza.
Che Mohd Ruzima dan Sequerah mendapati tiada kesilapan undang-undang atau prosedur yang boleh dijadikan alasan untuk merayu keputusan mahkamah itu, lapor BH.
Sabitan dan hukuman terbabit adalah berhubung dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan harta, dan dua kesalahan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.


