JOHOR BAHRU, – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi menasihatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming supaya tidak mengikut jejak Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh yang terus memegang jawatan walaupun pernah mengumumkan peletakan jawatannya sebelum ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Puad berkata Nga perlu segera melepaskan jawatan sebagai menteri sekiranya mahu mempertahankan integriti diri, parti dan Kerajaan Perpaduan.
“Saya mahu menasihatkan Nga Kor Ming letak jawatan segera sebagai Menteri KPKT. Jangan bagi banyak alasan. Jaga integriti kamu, parti kamu dan kerajaan perpaduan,” katanya.
Pada masa sama, Puad menyindir Akmal dengan mendakwa Ketua Pemuda UMNO itu pernah mengumumkan peletakan jawatan, namun tidak meneruskannya dan memberikan pelbagai alasan.
“Jangan ikut perangai Akmal. Dia kata mahu letak jawatan. Tetapi tidak jadi. Dia bagi berbagai alasan. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Pokoknya dia tidak ada integriti,” katanya.
Puad turut menjadikan tindakannya meninggalkan UMNO sebagai contoh bahawa seseorang perlu berpegang kepada pendirian walaupun terpaksa mengorbankan jawatan.
“Ikut macam saya. Bila saya mahu keluar parti, saya tetap keluar parti. Saya sebut, saya keluar parti ketika parti berada dalam kedudukan kuat.
“Ternyata betul, BN menang 48 kerusi. Tetapi saya tidak kesal kerana mesej saya sampai walaupun saya turut hilang jawatan MKT,” katanya.
Sebelum ini, Nga dalam temu bual bersama Oriental Daily dilaporkan berkata beliau akan menjadi orang pertama meletakkan jawatan sekiranya UMNO menang besar dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan tanpa sebarang kesalahan.
Nga turut dilaporkan berkata DAP tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana isu berkenaan merupakan “garis merah” parti tersebut.
Kenyataan itu dibuat ketika Nga mengaitkan kempen kemenangan besar UMNO di Johor dengan desakan beberapa pemimpin parti berkenaan supaya Najib dibebaskan lebih awal.
Bagaimanapun, kenyataan Nga kemudiannya dijadikan bahan kempen pemimpin BN yang mencabarnya supaya meletakkan jawatan sekiranya BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini turut berkata BN tidak menghalang Nga meletakkan jawatan, namun menegaskan kemenangan membentuk kerajaan negeri Johor tidak mempunyai kaitan dengan kes Najib atau pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Selepas keputusan PRN diumumkan, Akmal memuat naik video mencabar Nga supaya menunaikan janji berkenaan susulan kemenangan besar BN.
“Wahai Nga Kor Ming. Kalau kamu tidak tahu nak buat surat letak jawatan, meh sini aku buatkan,” katanya sambil menyertakan tanda pagar #letakjawatanngakorming.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor, manakala Pakatan Harapan memperoleh baki lapan kerusi.


