KUALA LUMPUR, — Naib Presiden BERSATU, Dr. Radzi Jidin menegaskan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu masih memenuhi syarat cukup bilang seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan BERSATU, sekali gus menafikan dakwaan bahawa peletakan jawatan beberapa ahli MPT menjejaskan keabsahan mesyuarat parti.
Dalam kenyataan media hari ini, beliau merujuk kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Ronald Kiandee yang dikeluarkan pada 11 Julai berhubung isu cukup bilang MPT.
Menurut Dr. Radzi, Fasal 13.12 Perlembagaan BERSATU menetapkan bahawa cukup bilang mesyuarat ialah satu perdua daripada jumlah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.
Beliau menjelaskan, jumlah Ahli MPT BERSATU ketika ini ialah 23 orang, sekali gus menjadikan jumlah minimum yang diperlukan untuk memenuhi cukup bilang ialah 12 orang.
“Peletakan jawatan beberapa ahli MPT BERSATU tidak menjejaskan ketetapan cukup bilang mesyuarat MPT BERSATU,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan mesyuarat MPT serta urusan pengurusan dan pentadbiran BERSATU boleh diteruskan seperti biasa mengikut kehendak perlembagaan parti.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai penjelasan rasmi kepimpinan parti susulan perdebatan mengenai keabsahan mesyuarat MPT selepas beberapa ahli dilaporkan meletakkan jawatan daripada badan tertinggi BERSATU.



