JOHOR BAHRU, – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 42.16 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 setakat jam 1 tengah hari tadi.
Daripada 2,682,642 pengundi berdaftar, seramai 1,130,980 orang telah keluar mengundi.
Peratusan itu mengatasi kadar yang direkodkan pada waktu sama dalam PRN Johor 2022, iaitu 34.51 peratus, menunjukkan peningkatan penyertaan pengundi pada pilihan raya kali ini.
Mengikut statistik SPR, tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mencatat peratus keluar mengundi tertinggi ialah Semarang dan Sedili, masing-masing 50.5 peratus, diikuti Tanjung Surat dengan 48.6 peratus.
Sementara itu, tiga DUN yang merekodkan kadar keluar mengundi terendah ialah Simpang Jeram sebanyak 35.2 peratus, diikuti Bentayan (32.6 peratus) dan Penggaram (32.2 peratus)
Proses pengundian bagi PRN Johor ke-16 bermula pada jam 8 pagi di 1,076 pusat mengundi di seluruh negeri bagi memilih wakil rakyat untuk mengisi kesemua 56 kerusi DUN.



