SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjelaskan bahawa kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, Putrajaya telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan berkuat kuasa sejak 6 September 2024.
Penjelasan itu dibuat susulan pelbagai reaksi yang timbul selepas kenyataan media MAIS pada 8 Julai lalu berhubung ketetapan bahawa surau atau musolla di pusat beli-belah di Negeri Selangor tidak diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.
Menurut MAIS, Musolla IOI City Mall terletak di dalam kompleks beli-belah IOI City Mall di daerah Sepang yang berada di bawah pengawasan dan pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Negeri Selangor.
Katanya, kelulusan tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) sebelum mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor.
MAIS memaklumkan, antara faktor yang dipertimbangkan ialah premis berkenaan mempunyai jumlah pekerja lelaki Islam yang ramai selain menerima kehadiran pengunjung Islam yang menghadapi kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat kerana kedudukan masjid berhampiran yang agak jauh.
Menurut kenyataan itu, masjid terdekat ialah Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda yang terletak kira-kira 7.6 kilometer dari premis berkenaan, manakala Masjid UNITEN, Kajang pula berada pada jarak sekitar 7.7 kilometer.
Selain faktor jarak, kedua-dua masjid tersebut juga didapati tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai ketika solat Jumaat.
Bagaimanapun, MAIS menegaskan bahawa kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall adalah bersifat sementara dan akan ditamatkan apabila sebuah masjid baharu berhampiran siap dibina serta mampu memenuhi keperluan jemaah termasuk pekerja di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat di negeri itu dilaksanakan secara teratur, mematuhi hukum syarak serta selaras dengan peruntukan undang-undang demi menjaga kemaslahatan umat Islam.



