Pas hanya tanding 11 kerusi di Johor tak perlulah momok dengan Gelombang Hijau, ancaman – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Jika sesebuah parti benar-benar yakin dengan dasar dan kemampuannya, ia tidak perlu menakut-nakutkan rakyat.

Sebaliknya, ia hanya perlu menjelaskan apa yang mahu dibuat, bagaimana mahu dilaksanakan dan mengapa rakyat harus percaya. Politik ketakutan mungkin boleh mencetuskan panik sementara, tetapi dalam jangka panjang, ia merosakkan kepercayaan rakyat kepada proses demokrasi.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, tindakan DAP-PH menakutkan pengundi dengan naratif “Gelombang Hijau” sebenarnya lebih menyerlahkan kegelisahan mereka sendiri. Ia menunjukkan bahawa mereka belum cukup yakin dengan kekuatan tawaran, rekod dan perjuangan mereka untuk menang atas merit.

“Menjelang kemuncak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, satu perkara semakin jelas kelihatan, DAP-PH kembali mengitar semula naratif “Gelombang Hijau” sebagai alat untuk menakutkan pengundi, khususnya pengundi bukan Melayu.

“Strategi ini bukan baharu. Ia pernah digunakan secara agresif dalam PRN 2023 apabila Pas dan Perikatan Nasional (PN) dilabel sebagai ancaman kepada kehidupan pelbagai kaum, kebebasan beragama dan masa depan Malaysia.

“Jika pada pertama kali ia digunakan, mungkin ia memberi impak. Namun suasana politik Johor berbeza. Rakyat Johor mahupun Malaysia secara keseluruhannya semakin matang.

“Dengan maklumat semasa yang lebih pantas serta bersandarkan kepada pengalaman politik beberapa tahun kebelakangan ini, ia menjadikan rakyat lebih berhati-hati menerima naratif ketakutan.

“Apabila kempen mula bergantung kepada sentimen takut, ia sering menggambarkan satu perkara, parti berkenaan kurang yakin dengan kekuatan tawaran dasar, rekod prestasi dan keupayaan meyakinkan rakyat melalui hujah yang rasional,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, kenyataan yang dikaitkan dengan pemimpin DAP yang mengatakan bahawa “menghentikan Gelombang Hijau adalah tentang menghentikan Pas” agak melucukan.

“Sejak awal penubuhan, Pas tidak pernah mendakwa bahawa parti itu ialah Islam secara mutlak. Pas ialah parti politik yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan, tetapi Islam sebagai agama jauh lebih luas daripada mana-mana organisasi politik.

“Namun persoalannya bukan di situ. Persoalannya ialah apabila seruan “hentikan Pas” dibungkus dengan istilah “Gelombang Hijau” yang membawa konotasi ketakutan kepada bukan Islam, ia berisiko menukar perbezaan politik biasa menjadi kegelisahan antara agama dan kaum.

“Jika DAP-PH mahu menolak Pas atas dasar polisi, tadbir urus, ekonomi atau pendekatan pentadbiran, mereka wajar berhujah di atas garis itu.

“Tetapi apabila Pas digambarkan seolah-olah ancaman kepada kebebasan hidup masyarakat bukan Islam, maka naratif itu mula bergerak ke wilayah sentimen yang tidak sihat.

“Lebih menghairankan, pihak yang sering mendakwa menolak politik 3R kelihatan sangat selesa menggunakan keresahan kaum dan agama apabila berdepan Pas. Seruan kepada pengundi bukan Melayu supaya keluar menolak “Gelombang Hijau” sering disusun dalam bahasa yang membayangkan seolah-olah kemenangan Pas akan mengancam cara hidup mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Ketua Pembangkang Pahang itu menyebut, dalam keadaan biasa, kerajaan sangat cepat memberi amaran tentang bahaya memainkan isu kaum dan agama. Namun apabila pemimpin DAP-PH menggunakan sentimen yang hampir sama terhadap Pas, teguran rasmi sering kedengaran perlahan, jika pun ianya bukan membisu.

“Tanda kegelisahan DAP-PH juga dapat dilihat apabila tokoh lama yang sudah lama tidak berada di barisan hadapan politik kembali dibawa turun ke pentas kempen. Kemunculan semula Tan Sri Lim Kit Siang dalam ceramah PH di Johor menunjukkan DAP masih bergantung kepada simbol lama untuk menggerakkan sentimen penyokong.

“Dalam keadaan yang sama, kehadiran tokoh kontroversi seperti Hew Kuan Yau atau “Superman Hew”, yang pernah dikaitkan dengan ucapan politik keras dan berbaur provokasi, menguatkan lagi gambaran bahawa DAP-PH sedang cuba menghidupkan semula emosi lama dalam kalangan pengundi.

“Strategi ini mungkin pernah berkesan sebelum ini. Dalam PRN 2023, naratif “Gelombang Hijau” digunakan untuk menggerakkan ketakutan, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

“Ia membantu PH mengekang kebangkitan PN di beberapa negeri tertentu. Tetapi strategi yang sama tidak semestinya berkesan di Johor.

“Pengundi Johor, termasuk pengundi Tionghua, sudah melihat bagaimana janji-janji besar PH tidak semuanya diterjemahkan menjadi perubahan yang dirasai. Mereka juga melihat bagaimana DAP, yang dahulu menentang Umno-BN dengan keras, kini boleh duduk bersama dalam kerajaan yang sama atas nama kestabilan.

“Di sinilah naratif menakutkan Pas menjadi semakin lemah. Pas mentadbir Kelantan, Terengganu, Kedah tanpa menganggu kehidupan masyarakat bukan Islam. Rumah ibadat bukan Islam masih wujud, aktiviti ekonomi berjalan, sambutan perayaan berlangsung, dan masyarakat pelbagai kaum terus menjalani kehidupan masing-masing. Perbezaan politik dengan Pas tidak sepatutnya diterjemahkan seolah-olah Pas adalah ancaman automatik kepada kebebasan agama.

“Dalam konteks Johor pula, kegelisahan DAP ini sangat melucukan. Dakwaan bahawa Pas boleh menjadi ancaman kepada masyarakat bukan Melayu juga tidak berpijak pada realiti angka. Pas hanya bertanding di 11 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor.

“BN pula, yang merupakan rakan DAP-PH di Kerajaan Persekutuan, bertanding di semua 56 kerusi. Dengan jumlah kerusi yang ditandingi Pas, adalah tidak munasabah untuk menggambarkan Pas seolah-olah berada di ambang mengambil alih kerajaan negeri secara bersendirian dan mengubah keseluruhan wajah Johor,” bidas beliau.

Maka Tuan Ibrahim berkata, apabila DAP-PH terus mengangkat naratif “Gelombang Hijau”, ia bukan lagi kelihatan sebagai hujah dasar, tetapi strategi emosi. Ia cuba mengalihkan perhatian daripada persoalan lebih besar: apakah tawaran ekonomi PH kepada Johor? Apakah rekod mereka dalam menunaikan manifesto? Apakah penyelesaian sebenar terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pengangkutan dan kesejahteraan rakyat?

“Pas tidak pernah mengajak rakyat meninggalkan keharmonian. Pas mengajak umat Islam berpegang kepada agama dan mengangkat nilai murni dalam kehidupan bernegara. Jika seruan kepada Islam, akhlak, integriti dan nilai kekeluargaan dianggap ekstrem, maka persoalannya bukan pada
Pas, tetapi pada cara DAP-PH mentafsir politik Islam.

“Apakah setiap orang Melayu Islam yang mahu mengamalkan agamanya dengan lebih tegas perlu dilihat sebagai ancaman? Apakah setiap usaha membawa nilai agama dalam pentadbiran perlu dilabel sebagai ekstrem?

“Malaysia ialah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, dalam masa yang sama menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing. Kerangka Perlembagaan ini menuntut kebijaksanaan politik, bukan kempen menakutkan rakyat. Politik yang matang sepatutnya mendidik rakyat untuk berbeza pendapat secara aman, bukan menanam rasa curiga antara kaum dan agama,” tegas Tuan Ibrahim.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat