Duta Muda Alam lahirkan generasi muda pencetus perubahan ke arah Malaysia lestari

Oleh Zihan Zari

TANGKAK – Agenda kelestarian negara tidak akan berjaya sekiranya ia hanya digerakkan melalui dasar dan kempen kerajaan semata-mata, kejayaan sebenar bergantung kepada sejauh mana rakyat, khususnya generasi muda, diberi ruang untuk memimpin perubahan dari bawah, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh.

Syed Ibrahim berkata Kem Duta Muda Alam diwujudkan bukan sekadar untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu alam sekitar, malah membentuk generasi muda yang mampu mencetuskan perubahan di sekolah, komuniti dan seterusnya menjadi pemimpin yang memahami bahawa pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar mesti bergerak seiring.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kem Duta Muda Alam Daerah Tangkak di Taman Negara Johor Gunung Ledang (Lagenda), dekat sini baru-baru ini.

Syed Ibrahim berkata ramai bercakap tentang masa depan alam sekitar, tetapi masa depan itu sebenarnya sedang dibentuk oleh anak-anak muda hari ini

“Sebab itu kita tidak mahu mereka hanya menjadi pendengar kepada isu kelestarian, tetapi menjadi individu yang menggerakkan penyelesaiannya,”katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Duta Muda Alam menghimpunkan penyertaan wakil guru dan pelajar daripada 16 buah sekolah menengah di Daerah Tangkak sebagai kumpulan perintis, sebelum mereka meneruskan pelaksanaan pelbagai projek amalan hijau di sekolah masing-masing sehingga Ogos ini.

Bagi menyokong pelaksanaan projek tersebut, setiap sekolah turut menerima dana pelaksanaan sebagai pemangkin kepada inisiatif kelestarian yang akan digerakkan di peringkat sekolah.

Pendekatan ini bertujuan memastikan idea dan perancangan yang dihasilkan oleh para peserta dapat diterjemahkan kepada tindakan sebenar yang memberi manfaat kepada warga sekolah dan komuniti setempat.

Pendekatan yang diterapkan melalui program ini memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan tindakan, kepimpinan belia dan pelaksanaan projek sebenar di peringkat sekolah.

Model ini berpotensi untuk diperluaskan ke lebih banyak sekolah dan daerah pada masa hadapan dalam usaha memperkukuh budaya kelestarian serta melahirkan lebih ramai generasi muda yang mampu menjadi pencetus perubahan di sekolah, komuniti dan negara.

Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Yayasan Hijau Malaysia (YHM); Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC); Centre for Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology (CETREE), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat