KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengingatkan, sebarang penggunaan aset kerajaan, program rasmi atau sumber awam perlu dielakkan daripada menimbulkan persepsi bahawa ia memberi kelebihan politik kepada mana-mana pihak.
Justeru Presiden MCW Jais Abdul Karim menyeru, pengundi Johor menilai calon berdasarkan integriti, kemampuan mentadbir, rekod perkhidmatan dan komitmen membanteras salah guna kuasa.
MCW mengikuti perkembangan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang semakin rancak dengan pelbagai naratif politik, dakwaan dan isu yang dibangkitkan oleh semua pihak.
“MCW berpandangan bahawa perbezaan pendapat dan kritikan adalah sebahagian daripada demokrasi namun budaya politik negara perlu bergerak ke arah kempen yang lebih matang berasaskan fakta, dasar, rekod prestasi dan integriti, bukannya sekadar perang persepsi, sentimen ketakutan atau serangan peribadi.
“MCW menegaskan semua parti perlu menghormati prinsip pilihan raya yang bersih dan adil. Sebarang penggunaan aset kerajaan, program rasmi atau sumber awam perlu dielakkan daripada menimbulkan persepsi bahawa ia memberi kelebihan politik kepada mana-mana pihak,” tegas beliau.
Pada masa yang sama Jais mengingatkan, semua dakwaan dan kritikan politik mestilah dibuat secara bertanggungjawab, berasaskan bukti serta tidak mengelirukan rakyat.
“PRN Johor seharusnya menjadi medan pertandingan idea dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya perlumbaan mencipta persepsi negatif.
“Politik boleh berbeza warna tetapi integriti mesti menjadi prinsip bersama,” seru Jais.



