JOHOR BAHRU – Kejayaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menangkap seekor buaya di kawasan Kampung Pasir, Tampoi, Johor Bahru mencuit hati di pentas media sosial kerana kerjasama yang tidak dijangka.
Pihak PERHILITAN difahamkan memasang perangkap pada awal pagi semalam untuk menangkap reptilia itu.
Dalam video yang tular, keadaan di sekitar perangkap begitu senyap dan sunyi sehingga penonton menyangkakan di sekitar kawasan itu hanya ada perakam video dan beberapa petugas PERHILITAN.
Melalui 1 video di Facebook menunjukkan ketika buaya berkenaan hampir masuk dan kemudian berundur keluar keadaan sekitar amat senyap, sebaik buaya itu hampir masuk dan pintu perangkap tertutup, keadaan menjadi kecoh dengan sorakan.
Rupa-rupanya, ramai orang yang terdiri dari penduduk sekitar menunggu dengan penuh sabar ketika buaya itu memasuki perangkap sehingga ia berjaya ditangkap.
Komen yang diterima dari video tersebut kebanyakannya menyatakan terkejut kerana ada ramai orang yang menonton kejadian itu.
Sebelum ini, buaya berkenaan dilaporkan sudah berkeliaran di kawasan perairan berhampiran selama beberapa minggu.
Reptilia berkenaan yang bersaiz besar dilihat beberapa kali timbul di permukaan air sehingga banyak pihak merakamkan video dan membuat laporan supaya langkah diambil untuk menangkapnya.
Jabatan Perhilitan negeri Johor telah turun dan melakukan pemantauan dan seterusnya memasang sebuah perangkap besi khas beserta umpan untuk menangkap buaya itu.
Difahamkan, apabila tersebar berita buaya berkenaan sudah berada berhampiran perangkap, orang ramai sudah berkumpul di kawasan itu selama kira-kira 5 jam menantikan saat buaya berkenaan ditangkap.
Pautan video : https://www.facebook.com/share/v/17wBiv6N9u/


