KUALA LUMPUR, 30 Jun 2026 – Tanggungjawab sosial korporat hari ini bukan lagi sekadar menyampaikan sumbangan kepada masyarakat, sebaliknya menjadi platform untuk mencipta perubahan yang berkekalan. Berpegang kepada prinsip tersebut, CUCKOO Malaysia melakar satu lagi langkah besar apabila memperkenalkan pelan induk CSR baharu, CUCKOO Loves, Cares Project, yang bukan sahaja menyatukan seluruh inisiatif kebajikan syarikat di bawah satu kerangka strategik, malah menggabungkan elemen muzik, kreativiti dan pembangunan bakat sebagai medium untuk menyebarkan mesej kasih sayang, harapan dan keprihatinan.
Pelancaran bersejarah itu turut menyaksikan pengenalan CUCKOO Dream Fund bernilai RM100,000 bagi membantu bakat kreatif muda merealisasikan impian mereka, selain pelantikan penyanyi dan pencipta lagu tiga bahasa, Firdhaus, sebagai CUCKOO CSR Friend pertama syarikat.
Dalam masa yang sama, majlis berkenaan turut menjadi pentas kepada pelancaran lagu “像水一樣 (Be Like Water)”, sebuah karya istimewa yang menyatukan Biduanita Negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Firdhaus. Lagu tersebut bukan sahaja menjadi lagu Mandarin penuh pertama sepanjang lebih tiga dekad perjalanan seni Dato’ Sri Siti Nurhaliza, malah diangkat sebagai lagu tema rasmi CSR CUCKOO Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata kejayaan sesebuah syarikat tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan prestasi perniagaan, sebaliknya melalui impak positif yang dapat dikembalikan kepada masyarakat.
Menurut beliau, pertumbuhan syarikat membawa bersama tanggungjawab yang lebih besar untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat serta mewujudkan kediaman yang lebih selamat, sihat dan membahagiakan.
Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, CUCKOO Malaysia memperkenalkan CUCKOO Loves, Cares Project sebagai pelan induk yang menghimpunkan semua inisiatif CSR sedia ada dan akan datang di bawah satu identiti yang lebih tersusun.
Sepanjang tiga tahun lalu, program komuniti CUCKOO Malaysia berkembang dengan begitu pesat, daripada lapan inisiatif pada 2023 kepada 20 program pada 2024 sebelum meningkat kepada 54 inisiatif sepanjang 2025. Melalui kerangka baharu ini, setiap usaha tersebut akan digerakkan secara lebih sistematik agar impaknya dapat diperluaskan kepada lebih ramai masyarakat.
Pelan induk berkenaan berteraskan slogan “Better Homes Begin With Us”, dengan dua matlamat utama iaitu mewujudkan ruang yang lebih selamat, sihat dan membahagiakan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Bagi memastikan pelaksanaannya lebih tersusun, keseluruhan program dibahagikan kepada dua teras utama.
Teras pertama, CUCKOO Loves, memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan melalui program #SAMASAMAKongsi yang menangani isu keselamatan makanan, #SAMASAMABantu bagi bantuan kecemasan dan bencana, serta #SAMASAMABuatBaik yang memfokuskan aktiviti bersama komuniti.
Sementara itu, teras CUCKOO Cares menumpukan kepada kesejahteraan, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan generasi masa depan menerusi #SAMASAMAUplift yang menyediakan sokongan penapis air dan kemudahan asas kepada sekolah serta pusat komuniti, #SAMASAMAProtect yang memfokuskan usaha pemuliharaan alam sekitar, selain #SAMASAMAEmpower yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat melalui biasiswa, latihan, penajaan dan dana pembangunan.
Kesemua inisiatif tersebut turut diselaraskan dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDGs), sekali gus memastikan setiap program yang dilaksanakan memberi impak sosial yang mampan.
Seiring pelaksanaan pelan induk tersebut, CUCKOO Malaysia turut memperkenalkan CUCKOO Dream Fund, sebuah dana kreatif bernilai RM100,000 yang disasarkan kepada golongan muda berusia antara 15 hingga 30 tahun termasuk pelajar, graduan baharu serta individu yang membangunkan bakat secara kendiri.
Melalui dana ini, peserta boleh mengemukakan cadangan projek kreatif dalam bidang kandungan digital dan penceritaan, muzik, seni visual, persembahan serta bengkel kreatif. Setiap projek yang berjaya berpeluang menerima pembiayaan sehingga RM10,000, merangkumi sokongan kepada penghasilan karya kreatif serta tambahan dana bagi projek yang mempunyai nilai impak sosial kepada masyarakat.
Permohonan bagi pusingan pertama dibuka bermula 1 Julai hingga 30 September 2026, dengan projek akan dinilai berdasarkan tahap kebolehlaksanaan, kreativiti, kelestarian dan impak sosial yang mampu diwujudkan.

Dalam usaha perkukuhkan lagi gerakan ini, CUCKOO Malaysia melantik Firdhaus sebagai CUCKOO CSR Friend pertama syarikat.
Selain menjadi wajah utama pelbagai inisiatif kebajikan syarikat, penyanyi yang semakin mencipta nama di pentas Mandopop itu turut memainkan peranan sebagai mentor kepada penerima CUCKOO Dream Fund dengan membantu menilai permohonan, memilih projek terbaik serta membimbing peserta merealisasikan idea mereka.
Ketua Pegawai Pemasaran CUCKOO Malaysia, Queenie Goh berkata pelantikan Firdhaus diharap dapat membawa tenaga baharu kepada gerakan CSR syarikat serta menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha kebajikan.
Menurut beliau, kesejahteraan sebenar bukan hanya melibatkan manusia, malah turut merangkumi alam sekitar serta ruang kehidupan yang dikongsi bersama. Justeru, CUCKOO Malaysia mahu memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti dan ekosistem.
Semangat tersebut turut diterjemahkan menerusi lagu “像水一樣 (Be Like Water)” yang dihasilkan sepenuhnya oleh Firdhaus.
Lagu berkenaan diinspirasikan daripada falsafah Bruce Lee, iaitu “Be water, my friend”, yang menggambarkan sifat air sebagai simbol kelembutan, ketabahan dan keupayaan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.
Menerusi lirik yang puitis, karya tersebut menggunakan air sebagai metafora kepada kasih sayang, keprihatinan dan harapan, sekali gus membawa mesej bahawa kebaikan tidak semestinya dipamerkan secara besar-besaran, tetapi boleh dizahirkan melalui tindakan kecil yang memberi kesan besar kepada kehidupan orang lain.

Kolaborasi bersejarah antara Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Firdhaus itu turut menjadi pencapaian penting apabila ia merupakan lagu Mandarin penuh pertama dirakamkan oleh Biduanita Negara sepanjang kerjaya seninya.
Proses rakaman turut melibatkan Budapest Scoring Orchestra, Dandelion Choir serta sentuhan penerbit muzik terkenal Aubrey Suwito, manakala video muziknya diarahkan oleh Jasmine Wong di Dewan Filharmonik PETRONAS dengan iringan Selangor and Kuala Lumpur Orchestra & Choir (SKOC) serta Yoke Nam Choir.
Sebagai pengiktirafan kepada pendekatan unik yang menggabungkan muzik dengan gerakan tanggungjawab sosial, CUCKOO Malaysia turut menerima pengiktirafan daripada Asia Records sebagai jenama kelengkapan rumah pertama di Asia yang menghasilkan lagu tema CSR berbahasa Mandarin bersama Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Firdhaus pada tahun 2026.
Melalui gabungan pelan induk CSR, pembangunan bakat kreatif dan karya muzik yang membawa mesej kemanusiaan, CUCKOO Malaysia berharap dapat membina sebuah ekosistem yang bukan sahaja meningkatkan taraf kehidupan masyarakat, malah menginspirasikan lebih ramai individu untuk bersama-sama menyebarkan kasih sayang, keprihatinan dan harapan demi masa depan yang lebih baik.


