KUALA LUMPUR – Orang ramai akan menikmati tambang perkhidmatan percuma bagi keretapi Transit Aliran Ringan (LRT3) selama sebulan selepas ia mula dilancarkan hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laman Facebooknya hari ini membuat pengumuman itu dengan menggunakan serangkap pantun.
Burung merpati terbang sekawan,
Datang kenari iring ke selat,
LRT laluan Shah Alam kini dilancarkan,
30 hari tambang percuma dinikmati rakyat.
Hantaran berkenaan turut disertakan dengan tanda pagar #YakinMadani.
“Tambang percuma akan dinikmati rakyat bermula 29 Jun hingga 31 Julai 2026,” katanya.
Turut diberikan tambang percuma ialah bas perantara bagi LRT3 laluan Shah Alam.
Majlis perasmian hari ini oleh Datuk Seri Anwar diadakan di Depoh Utama LRT3 Laluan Shah Alam di Johan Setia, Klang, Selangor.
Laluan LRT3 ialah sejauh 37.8 kilometer menghubungkan koridor barat Lembah Klang. Ia menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dengan Johan Setia di Klang.
Ia meliputi 20 buah stesen keseluruhan termasuk jajaran bawah tanah sejauh 2.5 kilometer.
Perkhidmatan ini mampu menampung penumpang sehingga 18,630 orang bagi setiap jam untuk satu hala perjalanan.
Ia menggunakan set tren 3 gerabak dengan kelajuan maksimum 80 kilometer sejam.



