Balai Seni Negara bawa Pameran LAT: ‘Dulu-Dulu’ ke Festival Budaya Malaysia @ Perak 2026

Oleh Zihan Zari

IPOH – Balai Seni Negara telah menyertai Festival Budaya Malaysia @ Perak 2026 dengan membawakan pameran khas ‘Lat: Dulu-Dulu’, sebuah pameran interaktif yang mengangkat karya dan legasi Seniman Negara ke-9, Dato’ Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Dato’ Lat.

Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata festival ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru dekat sini pada 25 hingga 28 Jun 2026 menghimpunkan pelbagai aktiviti seni, budaya dan warisan yang mencerminkan kepelbagaian identiti Malaysia.

“Penyertaan Balai Seni Negara kali ini memberi fokus kepada karya-karya Dato’ Lat yang telah menjadi sebahagian daripada memori rakyat Malaysia.

“Melalui sentuhan kreatif beliau menerusi karya ikonik seperti Kampung Boy dan Keluarga Si Mamat, Dato’ Lat berjaya merakam kehidupan masyarakat Malaysia dengan nilai kemanusiaan, semangat kebersamaan serta penceritaan yang sarat dengan nostalgia, budaya dan pengalaman hidup masyarakat Malaysia merentasi generasi,”kata kenyataan itu.

Katanya, pameran ini mengetengahkan pelbagai elemen yang diinspirasikan daripada karya beliau termasuk set dan prop bersaiz sebenar yang membawa pengunjung menyelami suasana kampung, kehidupan kekeluargaan serta pengalaman masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu.

“Antara tarikan utama ialah paparan suasana beranda rumah kampung, majlis perkahwinan tradisional, kehidupan harian keluarga serta pelbagai objek nostalgia yang sering muncul dalam lakaran Dato’ Lat, ”katanya lagi.

Ujarnya, pemilihan tema ini bukan sahaja bertujuan mengangkat sumbangan Dato’ Lat sebagai Seniman Negara, malah bertepatan dengan penganjuran festival di Perak yang merupakan negeri kelahiran beliau.

“Pameran ini sekali gus menjadi penghargaan kepada tokoh seni yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan seni kartun dan penceritaan visual negara sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, selain pameran utama, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti melukis dan mewarna, sesi fotografi, pengalaman AI Photo berinspirasikan karakter serta pameran Art Pacak yang menampilkan lakaran seni coret (doodle) berskala besar berteraskan budaya dan warisan tempatan.

“Bagi memeriahkan reruai, Balai Seni Negara turut membawakan tayangan wayang pacak yang menampilkan filem-filem ikonik arahan Allahyarham Mamat Khalid seperti Hantu Kak Limah, Zombi Kampung Pisang, Manap Karaoke, 17 Puasa serta dokumentari khas mengenai beliau.

“Sebagai pelengkap kepada pengalaman tersebut, prop ikonik Warung Pak Jabit turut dibangunkan semula bagi menghidupkan suasana yang sinonim dengan karya-karya Allahyarham Mamat Khalid dan memberikan pengalaman yang lebih dekat kepada pengunjung.

“Melalui penyertaan ini, Balai Seni Negara berharap dapat mendekatkan masyarakat dengan seni visual melalui pendekatan yang santai, interaktif dan mesra keluarga.

“Pada masa yang sama, ia menjadi platform untuk memperkukuh apresiasi terhadap seni, budaya dan warisan negara dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat usia.

“Orang ramai dan peminat seni dijemput hadir bagi memeriahkan reruai Balai Seni Negara di Festival Budaya Malaysia @ Perak 2026 dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam, serta nikmati pengalaman seni yang unik, penuh nostalgia dan dekat dengan jiwa rakyat Malaysia,”tambahnya lagi.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat