Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (World Organisation for Animal Health, WOAH), Dr. Emmanuelle Soubeyran, di KPKM dekat sini, baru-baru ini.
KPKM dalam kenyataannya berkata kunjungan tersebut menzahirkan komitmen berterusan Malaysia dan WOAH dalam memperkukuh kerjasama strategik yang telah sekian lama terjalin, khususnya dalam bidang kesihatan haiwan, perkhidmatan veterinar, pengawasan penyakit, kesiapsiagaan menghadapi kecemasan serta pelaksanaan pendekatan One Health.
Katanya, dalam pertemuan tersebut,
Foong Hin merakamkan penghargaan Malaysia terhadap sokongan berterusan WOAH dalam memperkukuh kapasiti veterinar negara, menggalakkan pelaporan penyakit yang telus serta memajukan piawaian antarabangsa berkaitan kesihatan haiwan.
“Mesyuarat tersebut turut membincangkan usaha berterusan Malaysia untuk memperkukuh penyelarasan pendekatan One Health merentasi sektor kesihatan haiwan, kesihatan awam, hidupan liar, kesihatan haiwan akuatik dan alam sekitar.
“Ini termasuk kerjasama yang lebih erat antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), dalam menguruskan risiko penyakit di antara ternakan, hidupan liar, haiwan akuatik dan manusia, ”katanya lagi.
Ujarnya, Malaysia turut berkongsi perkembangan terkini berkaitan beberapa inisiatif utama negara, termasuk pelaksanaan Pelan Hala Tuju National Bridging Workshop (NBW), Strategi Pembasmian Rabies Malaysia serta usaha memperkukuh kesiapsiagaan
negara dalam menghadapi penyakit haiwan rentas sempadan dan ancaman penyakit zoonotik yang semakin meningkat.
“Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai WOAH Performance of Veterinary Services (PVS) Pathway yang terus berperanan sebagai instrumen penting dalam menyokong penambahbaikan berterusan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, kunjungan ini memperlihatkan pengiktirafan WOAH terhadap komitmen Malaysia untuk membangunkan sistem kesihatan haiwan yang lebih bersepadu, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Ia juga mengukuhkan komitmen bersama antara Malaysia dan WOAH dalam mempertingkat kesiapsiagaan bagi menghadapi cabaran kesihatan haiwan dan penyakit zoonotik, ”tambahnya lagi.
Turut hadir, pegawai kanan daripada KPKM, DVS, DOF, PERHILITAN, serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).-SUARA.TV



