PAS tidak akan berkempen dengan Bersatu, logo sama kerana terpaksa – Hadi Awang

MARANG – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan jentera PAS tidak akan berkempen untuk calon Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya hanya akan memberi tumpuan kepada calon parti itu sendiri.

Ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Rusila, Marang, Abdul Hadi berkata PAS bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menyasarkan kemenangan di semua kerusi yang ditandingi.

“Kita bertanding 11 kerusi, sasaran kita untuk jadi pembangkang sekarang ini… jadi pembangkanglah, penasihat kepada kerajaan.

“Kita masuk 11 kerusi, kita target 11 kerusilah,” katanya ketika ditanya mengenai sasaran PAS pada PRN Johor.

Beliau berkata, keutamaan PAS adalah memastikan Johor terus dipimpin oleh orang Melayu Islam.

“Apa yang penting saya nak Johor diperintah oleh orang Melayu kita. Saya tidak mahu dikuasai oleh puak-puak liberal dan bukan Islam. Biar orang Islam yang perintah Johor,” katanya.

Menjawab soalan mengapa kempen PAS dan Bersatu dijalankan secara berasingan walaupun masih menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) di beberapa kawasan, Abdul Hadi berkata perkara itu berlaku kerana Bersatu mendesak untuk menggunakan logo tersebut.

“Kerana dia mendesak hendak guna logo, kita bagi sebab kita tak pecat dia lagi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa jentera PAS akan memberi tumpuan kepada kempen parti sendiri.

“Insya-Allah orang PAS akan berkempen untuk parti.”

Apabila ditanya sama ada PAS akan turut membantu berkempen untuk calon Bersatu, Abdul Hadi menjawab ringkas:

“Tidak, tidak… PAS akan berkempen untuk PAS sahaja.”

Kenyataan itu mengesahkan bahawa walaupun PAS dan Bersatu masih berkongsi penggunaan logo PN dalam PRN Johor, kedua-dua parti akan menggerakkan kempen secara berasingan mengikut strategi masing-masing.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat