KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim Pasukan Kebangsaan bagi menggantikan Peter Cklamovski.
Menurut FAM, pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas, rekod pencapaian cemerlang serta pemahaman mendalam Tan Cheng Hoe terhadap landskap bola sepak negara.
FAM turut menyatakan keyakinan bahawa pengalaman, kepakaran dan pengetahuan jurulatih berusia 58 tahun itu mampu menjadi aset penting dalam memperkukuhkan prestasi skuad Harimau Malaya.
Tan Cheng Hoe bukanlah nama asing dalam arena bola sepak negara. Beliau memulakan karier kejurulatihan bersama skuad Bawah 20 Tahun (B-20) kebangsaan sebagai penolong jurulatih dari 2005 hingga 2009 sebelum menyandang tugas sama bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) pada 2009 hingga 2010.
Beliau kemudian berkhidmat sebagai Penolong Jurulatih Pasukan Kebangsaan dari 2009 hingga 2013 sebelum kembali menyertai skuad kebangsaan pada 2017 dan dilantik sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya dari Disember 2017 hingga Disember 2021.
Sepanjang tempoh itu, Tan Cheng Hoe membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 ketika menjadi pembantu jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal. Sebagai ketua jurulatih, beliau turut membawa Harimau Malaya mara ke pentas final Piala Suzuki AFF 2018 sebelum muncul naib juara.
Di peringkat domestik, beliau mencipta kejayaan bersama Kedah apabila membawa pasukan itu menjuarai Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017, selain menjadikan Kedah antara pasukan paling konsisten dalam Liga Malaysia.
Selepas meninggalkan Kedah, Tan Cheng Hoe membimbing Selangor dari 2022 hingga 2024 sebelum meneruskan karier di Thailand bersama Police Tero FC.
Pada April 2025, beliau kembali menyertai FAM sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan.
FAM berharap pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim dapat memberikan suntikan baharu kepada Harimau Malaya dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan di pentas Asia dan antarabangsa.


