Perlis bukan isu utama sengketa PAS – Bersatu – Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa menjelaskan perpecahan hubungan politik antara PAS dan Bersatu bukan berpunca daripada isu Menteri Besar Perlis semata-mata, sebaliknya merupakan kemuncak kepada beberapa perbezaan pendirian yang berlarutan hampir dua tahun.

Menurut beliau, ramai pihak tersilap apabila menganggap episod di Perlis menjadi punca utama keretakan hubungan kedua-dua parti, sedangkan ia hanya sebahagian daripada siri perbezaan yang gagal diselesaikan.

“Punca sebenarnya bukan soal Perlis sangat.

“Apa yang berlaku ini bukanlah satu perkara yang berlaku secara tiba-tiba. Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku secara berturutan dan telah memakan masa hampir dua tahun,” katanya dalam Podcast Jam Kesebelas episod ke-30 yang dikendalikan oleh penganalisis politik Ab Jalil Backer dan Elviza Michele Kamal.

Menurut Annuar, sepanjang tempoh itu PAS dan Bersatu mempunyai perbezaan pandangan yang semakin ketara dalam beberapa isu strategik sehingga akhirnya kedua-dua parti memilih untuk membawa haluan masing-masing dalam menguruskan perbezaan tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa konflik tersebut bukan berlaku dalam PN secara keseluruhannya, sebaliknya lebih tertumpu kepada hubungan antara PAS dan Bersatu.

“Kadang-kadang orang keliru dan menyangka masalah ini berlaku dalam PN. Sebenarnya tidak.

“Dalam PN sehingga hari ini, kita berjalan seperti biasa. Masalah ini lebih kepada hubungan antara PAS dengan Bersatu kerana adanya perbezaan pendapat yang ketara,” katanya.

Annuar kemudian menghuraikan lima isu utama yang menurut beliau menjadi punca hubungan kedua-dua parti semakin renggang.

Pertama, katanya, kedua-dua parti berbeza pandangan mengenai hala tuju PN sebagai sebuah gabungan politik.

Menurut beliau, PAS mahu membuka PN kepada lebih banyak parti politik bagi memperkukuhkan gabungan tersebut, manakala Bersatu lebih cenderung mengehadkan kemasukan parti baharu.

“PAS berpandangan PN harus diperluaskan. Ia harus menjadi payung yang lebih besar dan bersedia menerima kelompok-kelompok parti lain.

“Sementara itu, Bersatu berpandangan ia tidak harus dibuka seluas itu,” katanya.

Kedua, katanya, PAS dan Bersatu turut berbeza pendekatan terhadap hubungan dengan UMNO.

Menurut Annuar, PAS mengambil pendirian bahawa ruang perundingan dengan UMNO perlu sentiasa dibuka atas kepentingan penyatuan politik Melayu, manakala Bersatu memilih pendekatan yang jauh lebih tegas.

“Bersatu mengambil pendekatan yang lebih keras, tidak mahu sama sekali berunding.

“Sementara dalam PAS, kita lebih terbuka terhadap perundingan dan perbincangan dengan UMNO kerana kita melihat kepada kepentingan yang lebih besar, iaitu penyatuan politik orang Melayu,” katanya.

Ketiga, beliau berkata, konflik dalaman Bersatu membabitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menjadi antara isu terbesar yang menguji hubungan kedua-dua parti.

Katanya, PAS sejak awal berusaha mendamaikan kedua-dua pihak kerana tidak mahu melihat Bersatu berpecah, namun akhirnya terpaksa membuat keputusan selepas diberikan pilihan untuk menyokong hanya satu kumpulan.

“Itu lebih besar berbanding isu Perlis,” katanya.

Keempat, Annuar mendakwa PAS tidak bersetuju dengan tindakan Bersatu menarik balik sokongan terhadap usaha menukar Menteri Besar Negeri Sembilan secara unilateral tanpa persetujuan bersama PN.

Menurut beliau, keputusan menarik balik sokongan itu menyebabkan usaha mendapatkan majoriti gagal, sekali gus menjejaskan strategi yang telah dipersetujui sebelum itu.

“PAS merasakan Bersatu beberapa kali mengambil tindakan unilateral.

“Pada PAS, perkara-perkara besar seperti itu sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat dan musyawarah terlebih dahulu,” katanya.

Kelima, beliau berkata, PAS turut berpandangan beberapa keputusan penting membabitkan gabungan itu dibuat tanpa proses musyawarah yang mencukupi sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati.

Katanya, tindakan unilateral dalam beberapa isu besar akhirnya menyebabkan hubungan kedua-dua parti semakin sukar dipertahankan.

“Versi PAS dan versi Bersatu memang tidak sama.

“Tetapi kerana perkara seperti ini berlaku berulang kali, PAS berpandangan tindakan yang lebih tegas perlu diambil bagi memastikan PN tidak terjejas,” katanya.

Walaupun mengakui hubungan antara PAS dan Bersatu kini berubah, Annuar menegaskan PN sebagai sebuah gabungan politik tetap berfungsi seperti biasa.

Beliau berkata, mesyuarat, rundingan kerusi pilihan raya dan proses membuat keputusan masih berjalan, manakala hubungan rasmi antara parti-parti dalam PN terus dikekalkan.

“Hubungan antara PAS dan Bersatu mungkin berada pada tahap yang tersendiri, tetapi di peringkat PN, kita terus mengekalkan entiti PN untuk bergerak ke hadapan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat