1,101 pelajar baharu PTSB pilih TVET, laluan masa depan di era AI dan Revolusi Industri 4.0

Oleh Zihan Zari

KULIM – Ketika dunia pekerjaan sedang berdepan perubahan pesat akibat perkembangan kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi digital, seramai 1,101 pelajar baharu memilih untuk memulakan langkah mereka dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) bagi Sesi I 2026/2027.

Jumlah tersebut melibatkan 673 pelajar lelaki dan 428 pelajar perempuan yang mendaftar dalam pelbagai program pengajian merangkumi bidang kejuruteraan dan perdagangan.

Peningkatan minat terhadap TVET dilihat sebagai petunjuk positif terhadap kesedaran generasi muda mengenai keperluan kemahiran teknikal dan teknologi yang semakin mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan masa kini.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PTSB, Log. Abdul Aziz Ishak berkata pelajar hari ini perlu bersedia menghadapi landskap pekerjaan yang jauh berbeza berbanding generasi terdahulu.

Menurut beliau, kemahiran dalam bidang seperti Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), big data, cloud computing dan cybersecurity kini menjadi antara kompetensi yang semakin diperlukan oleh industri.

“Penguasaan teknologi ini bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan. Pelajar yang mampu menguasai teknologi baharu akan mempunyai kelebihan untuk bersaing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar,”katanya.

Abdul Aziz yang mewakili Pengarah PTSB berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Minggu Transformasi Siswa PTSB, dekat sini baru-baru ini.

Katanya lagi, Minggu Transformasi Siswa yang menjadi platform awal memperkenalkan pelajar kepada kehidupan kampus, sistem akademik dan budaya pembelajaran di politeknik.

“Kedudukan strategik PTSB yang terletak di Taman Teknologi Tinggi Kulim atau lebih dikenali sebagai Kulim Hi-Tech Park
memberi kelebihan kepada pelajar untuk mendekati ekosistem industri berteknologi tinggi yang sedang berkembang pesat di negara ini.

“Pelajar berada dalam persekitaran yang sangat hampir dengan industri. Gunakan peluang ini untuk membina kemahiran, menambah pengalaman dan memahami kehendak sebenar majikan sebelum melangkah ke alam pekerjaan,”ujarnya.

Ujarnya lagi, pendidikan hari ini tidak lagi hanya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata sebaliknya, pelajar perlu membangunkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritis dan kebolehsuaian yang menjadi antara ciri utama graduan yang dicari oleh majikan.

“Perkara tersebut selaras dengan hala tuju ‘True North POLYCC’ yang memberi penekanan kepada pembangunan graduan yang seimbang dari segi ilmu, kemahiran, sahsiah dan kebolehpasaran, ”tambahnya.

Dalam perkembangan sama, pelaksanaan 13 Iltizam Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) turut menjadi pemacu kepada usaha memperkukuh kualiti pendidikan TVET melalui pengintegrasian teknologi baharu, pengukuhan hubungan industri serta penyediaan pengalaman pembelajaran yang lebih relevan dengan keperluan ekonomi semasa.

Bagi 1,101 pelajar yang kini memulakan perjalanan mereka di PTSB, pilihan untuk menyertai TVET bukan sekadar langkah melanjutkan pengajian, tetapi satu pelaburan masa depan dalam bidang yang semakin menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi negara.

Dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, kemahiran bukan lagi kelebihan tambahan, sebaliknya menjadi mata wang utama yang menentukan daya saing seseorang graduan pada masa hadapan.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat