KUALA LUMPUR – Pas memandang serius pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah Prof Dr Haim Hilman Abdullah di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, Pas secara konsisten mengecam sebarang tindakan pendakwaan terpilih seperti ini lebih-lebih lagi isu yang ditimbulkan oleh Haim adalah berkaitan dengan akses kepada pendidikan dan beliau sendiri merupakan tokoh yang telah terlibat dalam bidang pendidikan sejak sekian lama.
“Trend mendakwa ahli politik pembangkang pada kadar yang segera dan cepat yang berterusan juga menjadi indikator bahawa ia benar-benar merupakan suatu pendakwaan terpilih.
“Amatlah menghairankan ramai ahli politik kerajaan yang lebih lantang menyentuh isu-isu sensitif termasuk 3R serta membuat kenyataan-kenyataan jelek melampau, tidak dikenakan sebarang tindakan.
“Ucapan Haim dalam program pada 13 Jun 2026 lalu adalah bersifat menegur serta merupakan langkah semak dan imbang terhadap polisi kerajaan, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi pada ketika ini secara berfakta dan tidak emosional,” kata Takiyuddin yang juga seorang peguam.
Justeru katanya, Pas dengan tegasnya menuntut hak kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati oleh semua pihak.


