Sistem apa diguna pilih Alwiyah dan Halim, Puad tanya Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi terus membalas serangan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan mempersoalkan sistem pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Puad berkata, dakwaan Asyraf bahawa beliau meninggalkan UMNO kerana kecewa anaknya tidak dipilih sebagai calon hanyalah cubaan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang dibangkitkannya.

Sebaliknya, beliau menegaskan bantahannya adalah terhadap sistem pemilihan calon yang didakwanya tidak telus dan mengamalkan kronisme.

“Cuba Asyraf dedahkan sebelum ahli UMNO sendiri dedahkan. Kenapa Puan Alwiyah Talib, bekas ADUN Endau daripada Bersatu selama dua penggal, umum keluar Bersatu kemudian masuk balik UMNO, tiba-tiba tidak sampai sebulan dipilih sebagai calon BN DUN Endau.

“Itu angkara siapa? Alwiyah umur 64 tahun. Kenapa korbankan Ketua Puteri Johor yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing? Apakah Ketua Pemuda Mersing juga tidak layak? Kenapa BN tolak calon anak muda?” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Puad turut membangkitkan pengguguran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok yang menurutnya baru sepenggal menjadi wakil rakyat sebelum digantikan dengan Senator Datuk Halim Sulaiman.

“Dia orang muda. Dia baru sepenggal jadi YB. Di saat terakhir dia digugur dan diganti oleh YB Senator Halim Sulaiman yang berumur 64 tahun. Tidakkah itu kronisme?” katanya.

Menurut Puad, itulah sistem pemilihan calon yang diprotesnya dan bukannya semata-mata kerana anaknya tidak dipilih sebagai calon.

“Maka sistem pilih calon itu yang saya protes. Apabila tidak dilayan, apa lagi pilihan yang saya ada? Parti jadi milik eksklusif. Sebab itu saya melakukan kamikaze untuk sedarkan pemimpin,” katanya.

Beliau turut mempertahankan tindakannya mencadangkan anak sendiri sebagai calon dengan menyatakan ia bukan satu kesalahan sekiranya individu berkenaan mempunyai kelayakan.

“Mengenai anak saya, salahkah kalau saya mencadangkannya? Kalau tidak boleh, kenapa anak perempuan Ketua Bahagian Ledang boleh bertanding di Serom,” katanya.

Puad turut memberi bayangan akan membuat beberapa lagi pendedahan dalam masa terdekat, termasuk dakwaan membabitkan pelantikan anak dan isteri pemimpin UMNO ke jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Terdahulu, Asyraf Wajdi menolak dakwaan bahawa Puad keluar UMNO kerana prinsip, sebaliknya mendakwa bekas Ahli MKT itu kecewa selepas anaknya tidak dipilih sebagai calon BN bagi DUN Rengit.

Menurut Asyraf, Puad sebelum ini pernah menghantar tulisan panjang kepadanya yang mengugut akan keluar parti dan menghentam UMNO sekiranya anaknya tidak dipilih sebagai calon.

Asyraf turut menegaskan bahawa UMNO bukan sebuah parti yang mengamalkan budaya pewarisan politik atau “parti anak-beranak”, sambil mempertahankan proses pemilihan calon yang diputuskan kepimpinan parti.

Pertikaman lidah antara kedua-dua pemimpin itu tercetus selepas Puad pada Khamis mengumumkan keluar UMNO serta mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan kerana dipengaruhi pihak tertentu.

Dalam kenyataan sama, Puad mendakwa Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pernah memaklumkan kepadanya bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibuat atas titah pihak Istana.

Bagaimanapun, Onn Hafiz menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa pembubaran DUN Johor dibuat mengikut proses perlembagaan selepas beliau menghadap serta memperoleh titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Onn Hafiz turut mengumumkan bahawa UMNO Johor akan membuat laporan polis terhadap kenyataan Puad kerana mendakwa ia berpotensi menimbulkan salah faham terhadap Institusi Diraja serta menyentuh sensitiviti 3R.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat