KUALA LUMPUR – Istana tidak memerlukan kuasa politik untuk dihormati kerana istana dihormati kerana berkecuali.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Rafique Rashid Ali mengingatkan, raja yang dihormati dan disanjungi ialah raja yang berada atas dari politik, bukan dalam politik.
Beliau yang juga seorang peguam menegaskan, raja memerintah mengikut Perlembagaan, bukan mengikut kecenderungan politik.
“Dahulu Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata, raja tidak patut terlibat dalam politik. Saya juga masih berpegang kepada prinsip yang sama.
“Jika ada pihak di istana yang merasakan mereka boleh menentukan siapa patut memimpin parti politik atau kerajaan, mereka telah melangkaui sempadan yang ditetapkan oleh Perlembagaan.
“Apabila istana dilihat memihak kepada mana-mana parti atau tokoh politik, rakyat akan mula mempersoalkan keputusan yang dibuat.
“Itu tidak baik untuk institusi raja. Orang politik datang dan pergi. Institusi raja akan terus kekal,” jelas Rafique.
Sebab itu katanya, institusi raja mesti dijauhkan daripada perebutan kuasa politik.
“Perlembagaan memberi kedudukan yang tinggi kepada raja, tetapi pada masa yang sama menetapkan batas yang perlu dihormati.
“Menjaga institusi Raja bukan bermaksud membiarkan sesiapa melanggar sempadan Perlembagaan.
“Kesetiaan kepada raja sahaja tidak boleh mengatasi keluhuran kepada Perlembagaan kerana kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan,” kata Rafique.



