Bersih senaraikan insiden salah guna aset dan sumber kerajaan di PRN Johor, gesa pinda akta kesalahan pilihan raya

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memandang serius beberapa insiden yang melibatkan penggunaan aset dan sumber kerajaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang akan diadakan pada 11 Julai 2026.

Bersih mengingatkan semua parti politik bahawa pilihan raya yang benar-benar bebas dan adil menuntut persaingan berdasarkan dasar, rekod pentadbiran, integriti dan visi untuk masa depan negara, bukannya berdasarkan keupayaan mengerahkan sumber kerajaan untuk meraih sokongan politik. Rakyat berhak membuat pilihan dalam suasana yang adil, tanpa dipengaruhi oleh penggunaan jentera dan dana awam untuk tujuan politik kepartian.

Justeru Bersih menyenaraikan bebarapa insiden yang berlaku setakat ini menjelang PRN Johor antaranya, penyiaran di RTM Ceramah Umum Pakatan Harapan (PH) “Keadilan untuk Bangsa Johor” pada 15 Jun 2026.

“Selain itu, pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkenaan Perkhidmatan Shuttle Selatan pada 16 June 2026, di mana 3,000 Kad Komuter Madani Shuttle Selatan bernilai RM50 diagihkan percuma kepada rakyat Johor

“Juga Pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor oleh Menteri Besar Sementara, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Khamis,18 Jun 2026.

“Bersih turut menerima laporan berkenaan pemberian Bakul Kasih Johor di seluruh negeri,” katanya.

Menurut Bersih, walaupun inisiatif-inisiatif ini boleh memberi manfaat kepada rakyat, pelaksanaannya dalam tempoh menjelang pilihan raya menimbulkan persoalan serius mengenai keadilan dan kesaksamaan medan persaingan politik.

“Kerajaan mempunyai akses kepada jentera, dana, media dan institusi awam yang tidak dimiliki oleh parti-parti lain. Apabila sumber-sumber ini digunakan ketika rakyat sedang membuat pertimbangan untuk mengundi, ia mewujudkan kelebihan yang tidak adil kepada pihak yang sedang memegang kuasa.

“Amalan terbaik demokrasi menuntut supaya pengumuman dasar baharu, pelancaran program berskala besar, pengagihan bantuan serta penggunaan aset kerajaan yang boleh memberi manfaat politik kepada mana-mana pihak dihentikan sebaik sahaja Dewan Negeri dibubarkan.

“Kerajaan Sementara di peringkat negeri, dan juga Kerajaan Persekutuan seharusnya menahan diri daripada membuat pengumuman bantuan, projek dan agihan bantuan dalam sela masa pilihan raya,” katanya.

Hal demikian Bersih ingin mengingatkan keputusan petisyen mahkamah pilihan raya dalam kes petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu pada tahun 2023 di mana mahkamah pilihan raya telah memutuskan membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Terengganu ketika itu kerana kesalahan penyogokan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Kelakuan yang menjadi kesalahan di dalam petisyen tersebut adalah agihan wang bantuan melalui program kerajaan negeri seperti i-Belia, i-Pencen dan i-Siswa.

“Program-program pemberian baucar, wang bantuan, agihan bakul makanan dan seumpamanya walaupun berselindung di balik jenama kerajaan, boleh menjadi satu kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 8 Penjamuan dan Seksyen 10 Penyogokan,” tegasnya.

Sehubungan itu, Bersih sekali lagi menegaskan keperluan mendesak untuk meminda dan mengemaskini Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).

“Selain kesalahan-kesalahan sedia ada seperti penjamuan dan pemberian barang bernilai di bawah Seksyen 8 serta penyogokan di bawah Seksyen 10, AKPR perlu dipinda bagi memasukkan peruntukan khusus yang melarang penggunaan aset, dana, institusi dan sumber kerajaan untuk tujuan memperoleh kelebihan politik dalam tempoh pilihan raya.

“Selagi kelemahan ini tidak diperbetulkan, selagi itulah penyalahgunaan aset kerajaan akan terus berulang tanpa mengira siapa yang memegang kuasa, dan cita-cita untuk mewujudkan sistem pilihan raya yang benar-benar bersih dan adil akan terus menjadi janji yang tidak tertunai,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat