KUALA LUMPUR, – Peguam, Dato’ Shamsuddin bin Hj Nawawi berpandangan tidak wajar pengumuman mengenai kedudukan parti Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dibuat oleh Ketua Whip pembangkang, Datuk Takiyuddin Hassan, kerana perkara tersebut berpotensi menimbulkan persoalan dari sudut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Shamsuddin yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Pahang semasa pentadbiran Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kenyataan Takiyuddin di Dewan Rakyat bahawa Hamzah bukan seorang Ahli Parlimen Bebas dan merupakan ahli kepada sebuah parti berdaftar menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dijelaskan.
Beliau merujuk rakaman sidang Dewan Rakyat yang memetik kenyataan Takiyuddin selaku Ketua Whip pembangkang bahawa Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu bukan seorang Ahli Parlimen Bebas dan kedudukannya tidak bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Siapa yang mempunyai kuasa untuk mengumumkan seseorang Ahli Parlimen bukan lagi Ahli Parlimen Bebas? Ketua Whip atau Speaker Dewan Rakyat?
“Pada pandangan saya, perkara yang melibatkan kedudukan seseorang Ahli Parlimen sewajarnya diperjelaskan melalui saluran rasmi yang mempunyai bidang kuasa,” katanya dalam satu ulasan hari ini.
Menurut beliau, jika benar Hamzah merupakan ahli sebuah parti politik berdaftar, persoalan seterusnya ialah parti mana yang dimaksudkan oleh Takiyuddin.
“Adakah beliau merujuk kepada Parti Cinta Malaysia (PCM) atau Parti Wawasan Negara? Atau PCM yang sedang dalam proses menukar nama kepada Parti Wawasan Negara?
“Sudahkah pertukaran nama itu diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS)? Jika belum, adakah wajar perkara itu diumumkan seolah-olah proses tersebut telah selesai?” katanya.
Shamsuddin berkata, penjelasan yang tidak lengkap berisiko mengelirukan Dewan Rakyat dan orang ramai mengenai status sebenar Hamzah serta kedudukan parti yang dikaitkan dengannya.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai tafsiran Perkara 49A yang melarang seseorang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti selepas dipilih.
Katanya, perlu diperjelaskan sama ada terdapat perbezaan dari sudut perundangan antara Ahli Parlimen yang menang pilihan raya atas tiket Bebas dengan Ahli Parlimen yang menjadi Bebas selepas dipecat atau dilucutkan keahlian parti.
“Perkara 49A menyatakan seseorang Ahli Dewan Rakyat tidak boleh bertukar parti dan jika berbuat demikian, kerusinya boleh dikosongkan.
“Jadi persoalannya, apakah kedudukan seseorang Ahli Parlimen yang menjadi Bebas selepas dipecat daripada parti asal dan kemudiannya menyertai parti lain?” katanya.
Beliau turut merujuk laporan serta hebahan yang menyatakan Hamzah kini merupakan Presiden Parti Wawasan Negara, sedangkan proses pertukaran nama PCM kepada Parti Wawasan Negara dipercayai masih menunggu kelulusan ROS.
“Itu seolah-olah mendahului proses yang sepatutnya. Jika ROS belum memberikan kelulusan, maka status parti tersebut perlu diperjelaskan terlebih dahulu.
“Malam tadi pula diedarkan maklumat bahawa Parti Cinta Malaysia diterima menyertai Perikatan Nasional. Jadi persoalannya, Hamzah menjadi Presiden kepada parti yang mana?” katanya.
Shamsuddin menegaskan isu berkenaan bukan semata-mata pertikaian politik, sebaliknya menyentuh soal pematuhan kepada undang-undang dan peraturan negara.
Menurut beliau, rakyat berhak mendapat penjelasan yang jelas dan tepat mengenai kedudukan sebenar seorang Ahli Parlimen, lebih-lebih lagi apabila melibatkan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
“Bagaimana rakyat mahu meletakkan kepercayaan jika perkara-perkara asas berkaitan peraturan dan undang-undang tidak diperjelaskan dengan betul?
“Perkara ini perlu dijawab secara tuntas supaya tidak menimbulkan kekeliruan yang berpanjangan,” katanya.



