KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada pimpinan Umno untuk membuat keputusan berhubung kemungkinan beliau bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau bertanding di Negeri Sembilan, Khairy berkata, perkara itu bergantung kepada keputusan parti.
“Saya tidak tahu, tanya parti,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen ‘Safe Child, Strong Nation’ anjuran Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia (CPSM) di Seri Negara, lapor BH pada Isnin.
Bagaimanapun, ketika diajukan soalan mengenai pembabitannya dalam PRN Johor, Khairy yang lebih dikenali sebagai KJ memberi bayangan jelas akan turun padang membantu kempen.
“Saya akan berada di sana,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Majlis Mesyuarat Tertinggi (MT) Umno merekodkan sebanyak 6,252 permohonan daripada bekas ahli yang ingin menyertai semula parti itu, selain permohonan daripada ahli baharu.
Antaranya termasuk bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno.



