KUALA LUMPUR, – Penganjuran Umrah, Hajj & International Tourism Fair (UHIT) 2026 menjadi platform strategik yang menghimpunkan pemain industri umrah, haji dan pelancongan Islam dari dalam dan luar negara bagi memperkukuh kerjasama serta meneroka peluang perniagaan baharu.
Memasuki edisi ke-15, UHIT 2026 yang dianjurkan bersama oleh BUMITRA Malaysia dan Perfect Events menghimpunkan pengendali pelancongan dan umrah Malaysia bersama rakan industri dari Arab Saudi serta beberapa negara lain termasuk hotel, syarikat pengurusan destinasi, penyedia pengangkutan dan pelbagai penyedia perkhidmatan pelancongan.
Presiden BUMITRA Malaysia, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata hubungan Malaysia dan Arab Saudi yang terjalin sekian lama bukan sekadar hubungan perniagaan, sebaliknya dibina atas dasar kepercayaan, kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah dan haji.
Menurut beliau, UHIT bukan sekadar sebuah pameran, malah berfungsi sebagai platform yang mempertemukan pemimpin industri, agensi pelancongan, pengendali umrah, hotel, penyedia perkhidmatan serta agensi kerajaan untuk memperkukuh kerjasama dan mewujudkan peluang baharu dalam industri.
“Masa depan industri umrah dan pelancongan Islam bergantung kepada kerjasama yang kukuh, profesionalisme dan kepercayaan. Tiada organisasi mampu mencapainya secara bersendirian, sebaliknya seluruh ekosistem industri perlu bergerak bersama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian UHIT 2026 di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau turut mengajak lebih ramai golongan muda menyertai industri pelancongan dan umrah bagi memastikan kesinambungan serta pertumbuhan sektor tersebut pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan menegaskan bahawa pelancongan Islam bukan sekadar memenuhi keperluan pelancong Muslim, tetapi turut memerlukan tahap kepercayaan, kesiapsiagaan perkhidmatan, kompetensi dan profesionalisme yang tinggi.
Beliau berkata perkembangan pesat sektor umrah dan haji global yang dipacu oleh Saudi Vision 2030 membuka peluang besar kepada pengendali Malaysia untuk meningkatkan daya saing serta kecemerlangan perkhidmatan mereka.
Mohammad Faisal turut menyatakan sokongan terhadap Inisiatif Al-Qawiy Al-Amin yang diperkenalkan BUMITRA Malaysia bagi memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap industri umrah dan pelancongan Islam melalui penerapan nilai kompetensi, integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
Menurut beliau, kepercayaan awam merupakan aset paling penting dalam industri berkenaan dan perlu dipelihara oleh semua pemain industri demi memastikan pertumbuhan yang mampan.
UHIT 2026 dijangka terus menyumbang kepada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam dan pelancongan mesra Muslim terkemuka dunia selaras dengan aspirasi Visit Malaysia 2026.


