KPJ Healthcare lapor prestasi kemajuan KPJ Health System di Mesyuarat Agung Tahunan ke-33

Kuala Lumpur, – KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (“AGM”) ke-33 yang mengetengahkan kemajuan di bawah KPJ Health System (“KPJHS”) yang disokong oleh prestasi TK2025 yang kukuh serta memberi fokus kepada fasa pertumbuhan Kumpulan yang seterusnya.

Bagi TK2025, KPJ Healthcare mencatatkan hasil sebanyak RM4.26 bilion, meningkat 9% berbanding RM3.90 bilion yang direkodkan pada TK2024. Keuntungan sebelum cukai meningkat 6% kepada RM563 juta, manakala keuntungan selepas cukai bertambah 10% kepada RM402 juta. Kumpulan turut terus menawarkan nilai kepada pemegang saham melalui pulangan yang lebih baik, kedudukan kewangan yang lebih kukuh serta pertumbuhan permodalan pasaran yang mampan.

Tan Sri Dato’ Sri Dr Ismail Haji Bakar, Pengerusi KPJ Healthcare, berkata, “Prestasi TK2025 mencerminkan transformasi berterusan KPJ Healthcare daripada sekadar sebuah rangkaian hospital kepada sebuah sistem kesihatan bersepadu yang menghubungkan amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi. Pendekatan ini memperkukuh keupayaan kami untuk menyediakan penjagaan berkualiti tinggi, melahirkan bakat penjagaan kesihatan masa depan serta memacu inovasi, sambil mewujudkan nilai mampan kepada pesakit, komuniti dan pemegang saham.”

“Dalam melangkah ke hadapan, kami kekal komited dalam memastikan KPJ terus berkembang dengan tujuan yang jelas, daya tahan dan impak jangka panjang, sekali gus mewujudkan akses yang lebih luas kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan memberikan penambahbaikan yang bermakna dalam hasil kesihatan.

Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, berkata, “Sepanjang TK2025, kami mencapai kemajuan yang signifikan dalam aspek kecemerlangan klinikal, pembangunan bakat dan inovasi, sambil memperkukuh asas yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan masa depan Kumpulan.

Tumpuan kami kini adalah untuk memperluas keupayaan ini ke seluruh rangkaian melalui integrasi sistem, pembangunan Pusat Kecemerlangan serta penerapan keupayaan kesihatan baharu seperti kecerdasan buatan, genomik dan penjagaan berasaskan nilai.”

“Usaha ini memastikan kami terus memberikan hasil rawatan yang lebih baik kepada pesakit sambil menjana nilai mampan untuk jangka panjang, selaras dengan aspirasi Care for Life yang menjadi teras KPJ Healthcare.”

Di seluruh rangkaian KPJ, TK2025 menyaksikan kemajuan berterusan dalam bidang penjagaan kesihatan khusus, pembangunan tenaga kerja kesihatan serta inovasi, sejajar dengan matlamat KPJ Health System yang mengintegrasikan amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi secara lebih menyeluruh.

Antara pencapaian utama sepanjang tahun termasuk pelancaran Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru di Johor Specialist Hospital, beberapa pencapaian klinikal pertama dalam rangkaian KPJ seperti pelaksanaan prosedur Pressurised Intraperitoneal Aerosol Chemotherapy (“PIPAC”) pertama oleh sektor swasta di Malaysia serta pembedahan Deep Brain Stimulation (“DBS”).

KPJ juga meneruskan kerjasama strategik dengan Mayo Clinic, memperluas program latihan khusus melalui School of Digital Health dan AI Academy di KPJ Healthcare University, serta memperkenalkan pelbagai inisiatif inovasi termasuk Sistem Pengurusan Penyelidikan, kerjasama dengan University of Melbourne bagi memacu inovasi kesihatan digital dan pembangunan chatbot penglibatan pesakit berasaskan AI atas kerjasama IBM Malaysia.

Dalam meneruskan momentum ini, KPJ turut memperkukuh keutamaan strategiknya pada TK2026 termasuk melalui pelancaran Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok Damansara Specialist Hospital 2, kejayaan melaksanakan prosedur pemindahan buah pinggang di Tawakkal Specialist Hospital serta pemeteraian memorandum persefahaman dengan Royal College of Surgeons of England bagi memperkukuh lagi kecemerlangan klinikal dan pembangunan bakat penjagaan kesihatan di seluruh KPJ Health System.

Dalam melangkah ke hadapan, KPJ Healthcare akan terus memperkasa KPJ Health System menerusi integrasi yang lebih mendalam di seluruh rangkaiannya serta peluasan inisiatif penyepaduan unsur transformasinya. Pada masa yang sama, Kumpulan akan mempercepatkan pembangunan Pusat Kecemerlangan serta memperluaskan penerimagunaan kecerdasan buatan, genomik dan penjagaan berasaskan nilai bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih diperibadikan dan berorientasikan hasil.

Sebagai Sistem Kesihatan Akademik Bersepadu swasta pertama di Malaysia, KPJ Healthcare kekal komited untuk menterjemahkan segala usaha ini kepada hasil kesihatan yang lebih baik serta nilai yang mampan demi komunitinya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat