KUALA LUMPUR, – Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail memohon maaf kepada penonton susulan gangguan siaran RTMKlik ketika separuh masa pertama perlawanan Perancis menentang Senegal awal pagi tadi.
Beliau berkata, RTM akan terus berusaha memastikan kelancaran siaran semua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 dapat dinikmati rakyat Malaysia dengan lebih baik.
“Mewakili RTM, saya memohon maaf kepada penonton atas segala kesulitan yang timbul semasa separuh masa pertama perlawanan Perancis-Senegal di RTMKlik.
“Saya dan pasukan RTM, RTMKlik serta Sukan TV RTM akan terus berusaha memastikan kelancaran siaran semua 104 perlawanan iaitu 94 siaran langsung dan 10 siaran tertunda Piala Dunia FIFA 2026 dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia dengan lebih lancar dan berkualiti,” katanya.
Terdahulu, RTM dalam kenyataan media memaklumkan gangguan teknikal itu berlaku pada platform RTMKlik ketika siaran langsung separuh masa pertama perlawanan berkenaan pada pukul 3 pagi.
Menurut RTM, gangguan tersebut berpunca daripada masalah teknikal luar jangka yang menyebabkan sebahagian pengguna mengalami kesukaran mengakses siaran secara lancar.
Pasukan teknikal RTM bersama pihak penyedia teknologi telah mengambil tindakan segera bagi memulihkan perkhidmatan.
RTM turut memaklumkan langkah pengukuhan infrastruktur dan sistem penyiaran digital sedang dilaksanakan bagi mengurangkan risiko gangguan sama berulang.
Gangguan itu sebelum ini mencetuskan rungutan peminat bola sepak di media sosial susulan kesukaran mengikuti aksi perlawanan menerusi RTMKlik.



