KUALA LUMPUR – Persoalan sokong Pas dapat apa sering menjadi modal yang sering dimainkan oleh mereka yang tidak suka kepada Pas.
Menurut Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad, jika difikirkan secara selapis, mungkin ada yang merasakan soalan itu logik.
Jelas Idris, Pas bukan Kerajaan Persekutuan, Pas tidak mempunyai Perdana Menteri, dan Menteri Besar daripada Pas juga tidak pernah menjanjikan projek atau habuan kepada sesiapa yang menyokong parti ini.
“Namun yang lebih menarik, walaupun Pas dilemparkan dengan pelbagai gelaran dan tuduhan, Pas tetap mendapat tempat di hati rakyat.
“Ada yang menuduh Pas dipimpin oleh mullah, ada yang melabel Pas sebagai Syiah, Khawarij, Muktazilah, Wahabi, walaun, parti ajaran sesat, parti ekstrem, parti yang suka mengkafirkan orang, parti pak lebai, parti tin Milo dan bermacam-macam lagi.
“Bagi saya, semua label ini sebenarnya menjadi iklan percuma kepada Pas. Kami tidak marah, bahkan mampu tersenyum. Kerana kami memilih untuk menjawab dengan amalan, bukan dengan kemarahan.
“Hakikatnya, tuduhan seperti ini bukan perkara baharu. Sejak penubuhan Pas pada tahun 1951, pelbagai fitnah dan tohmahan telah dilontarkan. Pada zaman maklumat masih tertutup, sebelum adanya media sosial dan dunia tanpa sempadan seperti hari ini, Pas tetap mampu bertahan dan berkembang. Apatah lagi pada zaman media sosial sekarang, segala tuduhan lebih mudah dijawab dengan fakta dan penerangan yang pantas,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kata Idris, biarlah mereka terus melabel. Kita akan terus menjawab dengan akhlak, khidmat dan perjuangan. Apabila orang mendengar sendiri, melihat sendiri dan mengenali Pas dari dekat, mereka akan mendapati banyak tuduhan itu tidak seperti yang digambarkan.
“Jika Pas benar-benar sesat seperti yang dituduh, bagaimana begitu ramai para asatizah, ilmuwan Islam dan majoriti tuan-tuan guru pondok memberikan sokongan kepada Pas? Mustahil mereka yang mendalami ilmu agama tidak mampu membezakan antara kebenaran dan kesesatan.
“Sebab itu saya selalu berpesan kepada anak-anak muda yang mengadu kepada saya bahawa ibu bapa mereka marah kerana mereka menyokong Pas. Saya katakan kepada mereka: “Jangan banyak berhujah dengan emak dan ayah. Mereka tidak akan tunduk hanya dengan hujah. Sebaliknya, tunjukkan akhlak yang baik, hormati mereka, rajin membantu keluarga, bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan pekerjaan serta menjadi anak yang soleh. Apabila mereka melihat perubahan yang baik pada diri kamu, ketika itu kamu sedang berhujah tanpa berkata-kata,” ujarnya.
Idris memberitahu, antara faktor yang menyebabkan ramai orang tertarik kepada Pas ialah dasar perjuangannya yang jelas serta keterbukaannya menerima sesiapa sahaja yang ingin bersama perjuangan ini.
“Pas tidak mengenakan tapisan yang terlalu ketat kepada mereka yang ingin menjadi ahli. Sebaliknya, setelah mereka menyertai Pas, proses memberi kefahaman, tarbiyah dan pembinaan diri dilakukan secara berterusan agar mereka memahami matlamat serta tuntutan perjuangan.
“Alhamdulillah, majoriti yang menyertai Pas terus istiqamah bersama perjuangan ini. Mereka masuk dengan kesedaran dan memahami risiko yang mungkin dihadapi.
“Ada yang menghadapi kesukaran dalam perniagaan, tidak mendapat kenaikan pangkat, ditukarkan tempat kerja, malah ada yang dikenakan pelbagai tekanan kerana pendirian politik mereka. Namun semua itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berjuang. Mereka sedar bahawa perjuangan tidak sentiasa menjanjikan kesenangan, tetapi menuntut pengorbanan dan keteguhan prinsip.
“Ada juga pihak yang menuduh Pas tidak mendapat sokongan golongan profesional dan cerdik pandai. Hakikatnya, ramai daripada golongan profesional, doktor pakar, akademik, pakar dalam pelbagai bidang serta individu berpengaruh memberikan sokongan kepada Pas, sama ada secara terbuka atau di belakang tabir. Tidak semua mampu tampil di hadapan atas faktor kerjaya dan kedudukan masing-masing, tetapi sumbangan mereka sangat besar.
“Merekalah yang banyak menyumbang idea, pandangan strategik, kajian serta membantu menyediakan pelbagai polisi dan cadangan untuk memperkukuhkan pentadbiran dan perjuangan Pas.
“Sering kali masyarakat tidak melihat peranan mereka, tetapi kesannya dapat dirasai dalam pelbagai aspek. Begitu juga dengan tohmahan bahawa Pas berlaku zalim terhadap masyarakat bukan Islam. Tuduhan ini dijawab melalui fakta dan pengalaman sebenar. Negeri-negeri yang diperintah oleh Pas membuktikan bahawa masyarakat bukan Islam terus dapat menjalankan kehidupan, aktiviti ekonomi, budaya dan keagamaan mereka dengan aman. Apa yang sering digambarkan oleh musuh politik tidak berlaku seperti yang ditakut-takutkan.
“Sebab itu, Pas tidak perlu terlalu sibuk menjawab setiap tuduhan dengan kata-kata. Rekod pentadbiran, akhlak perjuangan dan pengalaman rakyat yang hidup di bawah pemerintahan Pas adalah jawapan yang paling berkesan.
“Fitnah mungkin boleh menarik perhatian seketika, tetapi kebenaran yang dibuktikan dengan amalan akan bertahan lebih lama,” katanya.


