Gelar Anthony Loke “Tok Undang ke-5”: Umno Negeri Sembilan tuntut permohonan maaf, institusi adat tak wajar dipermain

KUALA LUMPUR – Umno Negeri Sembilan mengecam keras tindakan seorang pengacara majlis yang menggelar Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebagai “Tok Undang ke-5” ketika sebuah majlis pelancaran jentera politik di Negeri Sembilan baru-baru ini digambarkan seolah-olah mempermainkan institusi adat Negeri Sembilan.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Saiful Yazan Sulaiman menegaskan, bahawa gelaran Undang bukan bahan jenaka politik.

“Saya memandang serius rakaman video yang kini tular di media sosial yang memaparkan seorang pegawai kepada Menteri Besar Negeri Sembilan menggelarkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, sebagai “Undang Yang Ke-5” ketika Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa gelaran Undang bukan bahan jenaka politik. Gelaran tersebut mempunyai kedudukan, sejarah dan kemuliaannya yang tersendiri dalam sistem Adat Perpatih dan kenegaraan Negeri Sembilan.

“Perbuatan mengaitkan mana-mana pemimpin politik dengan gelaran Undang, walaupun atas alasan gurauan atau sindiran, adalah tidak wajar, tidak sensitif dan menunjukkan kegagalan memahami nilai serta kedudukan Institusi Adat Negeri Sembilan.

“Lebih mengecewakan apabila perkara seperti ini datang daripada individu yang berada dalam lingkungan pentadbiran kerajaan negeri yang sepatutnya menjadi contoh dalam menghormati adat dan institusi negeri,”bidas Saiful Yazan.

Oleh itu, beliau mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan menyatakan pendirian beliau mengenai perkara ini. Menteri Besar tidak boleh berdiam diri atau berpura-pura menganggap perkara ini remeh.

Jelasnya, kegagalan bertindak hanya akan memberikan gambaran bahawa sikap memperlekehkan institusi adat turut diterima dan dibenarkan oleh pentadbiran kerajaan negeri.

“Selain itu, pegawai terbabit juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Negeri Sembilan dan Institusi Undang Yang Empat tanpa sebarang alasan atau helah. Permohonan maaf itu perlu dibuat segera bagi menunjukkan rasa tanggungjawab atas keterlanjuran yang telah berlaku.

“Rakyat Negeri Sembilan tidak akan sesekali membenarkan adat, institusi dan warisan negeri ini dipermainkan demi kepentingan atau retorik politik mana-mana pihak.

“Institusi adat bukan milik parti politik. Institusi adat adalah maruah Negeri Sembilan.

“Adat mesti dijunjung. Institusi harus dipertahan. Maruah negeri tidak boleh dipermainkan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat