KOTA TINGGI – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor memperkukuhkan kerjasama strategik dalam usaha menangani konflik antara manusia dan hidupan liar yang semakin meningkat, khususnya membabitkan gajah, kera, babi hutan, harimau belang dan tapir.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup berkata, pendekatan yang lebih berkesan perlu dilaksanakan berikutan peningkatan ketara aduan konflik manusia dan hidupan liar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan program turun padang di Pusat Santuari Gajah Johor di Kota Tinggi pada Sabtu bagi meninjau secara dekat isu konflik manusia dan hidupan liar di kawasan Tenggara.
Menurut beliau, kerajaan menghargai langkah Johor yang menubuhkan Jawatankuasa Khas Konflik Manusia dan Gajah Negeri Johor serta kerjasama antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Kementerian Pengangkutan dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dalam menangani isu perlintasan gajah di Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru.
Rekod PERHILITAN menunjukkan sebanyak 76,361 aduan konflik manusia dan hidupan liar direkodkan di seluruh negara dari tahun 2020 hingga Mei 2026 dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM58.7 juta.
Di Johor sahaja, sebanyak 9,063 aduan konflik hidupan liar direkodkan bagi tempoh 2021 hingga Mei 2026 dengan jumlah kerugian sekitar RM7.5 juta.
Arthur berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kementerian melalui PERHILITAN bagi mengurangkan konflik tersebut termasuk penubuhan santuari gajah, pemasangan kolar satelit untuk pemantauan pergerakan gajah sebagai sistem amaran awal, pembangunan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) serta pelaksanaan Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Kebangsaan (NECAP).
Dalam program sama, beliau turut menyampaikan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) berjumlah RM79,600 kepada sembilan penerima yang terjejas akibat konflik hidupan liar. Selain itu, lampu LED turut diserahkan kepada komuniti setempat sebagai langkah mitigasi bagi menghalau haiwan liar daripada memasuki kawasan penempatan dan pertanian.
Menurut beliau, inisiatif BKHT yang diperkenalkan sejak tahun 2024 bertujuan membantu individu yang mengalami kerugian harta benda, tanaman dan ternakan akibat gangguan hidupan liar.
Beliau turut mengadakan sesi dialog bersama penduduk bagi mendapatkan maklum balas dan membincangkan langkah penyelesaian jangka panjang terhadap isu konflik manusia dan hidupan liar yang dihadapi masyarakat setempat.
Program tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Abdul Kadir Abu Hashim, wakil Kerajaan Negeri Johor serta komuniti setempat.



